Khamis, 13 Jun 2024 | 6:17pm
Ramanan (tengah) pada Majlis Penyampaian Cek Pembiayaan TEKUN SPUMI dan SPUMI Goes Big, hari ini. - FOTO BERNAMA
Ramanan (tengah) pada Majlis Penyampaian Cek Pembiayaan TEKUN SPUMI dan SPUMI Goes Big, hari ini. - FOTO BERNAMA

29,136 usahawan masyarakat India manfaatkan SPUMI

KUALA LUMPUR: Seramai 29,136 usahawan masyarakat India telah memanfaatkan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional membabitkan peruntukan berjumlah RM458 juta.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan, berkata ia adalah jumlah direkodkan sejak skim berkenaan dilaksanakan pada 2008.

"Sejak skim itu dilaksanakan pada 2008, TEKUN telah menerima peruntukan RM421.5 juta bagi melaksanakan program SPUMI.

"Bagi tahun ini, TEKUN memberi kelulusan permohonan SPUMI kepada 666 individu membabitkan RM18 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Cek Pembiayaan TEKUN SPUMI dan SPUMI Goes Big di ibu pejabat TEKUN Nasional, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdulllah Sani Abdul Hamid, dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani.

Seterusnya, Ramanan berkata, TEKUN meluluskan 51 permohonan SPUMI Goes Big membabitkan pembiayaan bernilai RM2.5 juta.

"Sebanyak 81 permohonan diterima membabitkan nilai keseluruhan RM7.2 juta. Daripada jumlah itu, sebanyak 51 permohonan diluluskan, manakala 27 lagi masih dalam proses kelulusan lembaga mesyuarat.

"Jumlah pembiayaan bergantung pada permohonan dan kelayakan pemohon dengan maksimum pembiayaan RM100,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif pemerkasaan ekonomi, khususnya untuk masyarakat India.

"Kekuatan ekonomi sahajalah yang mampu menjamin masa depan dan hala tuju masyarakat India di negara ini.

"Ia merupakan detik cukup penting untuk melihat hasil program yang telah diumumkan, dan kisah kejayaan usahawan menceritakan segala-galanya," katanya.

Berita Harian X