Khamis, 13 Jun 2024 | 3:20pm
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Kes bunuh Zayn Rayyan: 'Kita dah hampir ke penamat, namun... ' - Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR: "We are so close, yet so far" - demikian rumusan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengenai perkembangan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin hari ini.

Rumusan berkias itu menggambarkan siasatan polis dalam kes itu yang sudah hampir mencapai penyelesaian, namun tidak menuju seperti diharapkan.

Meskipun berbangga dengan pencapaian anak buahnya dalam mengendalikan kes itu, Mohd Shuhaily berkata hakikat pendakwaan hari ini perlu diterima.

"We are so close, yet so far (kita dah hampir hampir ke penamat, namun hakikatnya masih jauh)," katanya merujuk pencapaian kes itu yang tidak menghala seperti diharapkan iaitu pertuduhan kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, penyelesaian kes berkenaan adalah satu bentuk komitmen tinggi yang ditunjukkan pegawai dan anggotanya.

"Mereka ini berhempas-pulas menjalankan siasatan tanpa mengira penat lelah siang dan malam dalam bekerja secara ikhlas dalam melaksanakan amanat dan tanggungjawab yang diberikan.

"Mereka ini seharusnya wajar diberikan penghargaan sedalam-dalamnya selepas melunaskan tugas mereka sepanjang tempoh enam bulan," katanya.

Sehubungan kes ini, Mohd Shuhaily, meminta semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung penyataan-penyataan yang tidak tepat sepanjang siasatan dijalankan PDRM sebelum ini.

"Segala keterangan penuh boleh diikuti menerusi prosiding perbicaraan di mahkamah yang dijangka Julai ini.

"PDRM menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan kenyataan yang tepat hanyalah daripada pihak polis.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak melanggar mana-mana undang-undang sehingga boleh menjejaskan prosiding siasatan dan subjudis kepada perbicaraan kes," katanya.

Berita Harian X