Khamis, 13 Jun 2024 | 3:12pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

SKDS: 198,046 kenderaan awam, barangan lulus subsidi diesel setakat semalam

PUTRAJAYA: Sebanyak 198,046 kenderaan awam dan barangan membabitkan 59,940 syarikat telah diluluskan subsidi diesel bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), setakat semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jumlah kelulusan itu secara tidak langsung menunjukkan peningkatan dalam permohonan untuk menyertai sistem berkenaan.

"Sehari sebelum pelarasan harga bermula, iaitu pada 9 Jun lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat membabitkan 156,242 kenderaan.

"Hingga 12 Jun (semalam), jumlah keseluruhan syarikat yang diluluskan subsidi diesel bawah SKDS ialah sebanyak 59,940 membabitkan 198,046 kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armizan menjelaskan, pemohon SKDS boleh diberi kelulusan serta-merta melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik saja permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.

Justeru, beliau berkata, KPDN menjangka permohonan terus meningkat, khususnya hingga 30 Jun ini selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima 'fleet card'.

"KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak supaya segera membuat permohonan melalui pautan: mysubsidi.kpdn.gov.my untuk mendapat manfaat subsidi bersasar yang ditawarkan oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula Isnin lalu, dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Bagi mengimbangi kesan kenaikan itu, kerajaan mengamalkan penyasaran subsidi diesel melalui SKDS 2.0, termasuk menetapkan harga kepada sektor yang layak seperti logistik.

Selain itu, bantuan BUDI Madani sebanyak RM200 sebulan diperuntukkan kepada individu yang layak, termasuk pemilik kenderaan diesel dan petani kecil.

Berita Harian X