Khamis, 13 Jun 2024 | 10:28am

TERKINI: Ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak

PETALING JAYA: Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, di sini, antara 5 Disember lalu pada jam 12 tengah hari hingga keesokannya jam 9.55 malam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik.

Ia selama apa-apa tempoh dan dengan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

"Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan," katanya.

Peguam bela Zaim Ikhwan, Fahmi Abd Moin, memohon jaminan RM5,000 bagi anak guam, namun tiada isu dengan syarat tambahan dicadangkan.

"Wang jaminan untuk memastikan kehadiran ke mahkamah. Jumlahnya tidak harus berbentuk hukuman dan jika terlalu tinggi, ia tidak dapat dilunaskan serta tak selari prinsip bersalah hingga dibuktikan sedemikian.

Peguam, Fahmi Abd Moin (tengah), ketika sidang media selepas pertuduhan ke atas ibu dan bapa kepada kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Peguam, Fahmi Abd Moin (tengah), ketika sidang media selepas pertuduhan ke atas ibu dan bapa kepada kanak-kanak austime, Zayn Rayyan Abdul Matiin. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

"Jumlah jaminan dicadangkan terlalu tinggi, selain anak guam memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Peguam Ismanira, Mahmud Jumaat, pula memohon jumlah jaminan kurang daripada RM5,000 untuk anak guam dan tidak membantah syarat tambahan.

"Tiada risiko melarikan diri. Kedua-kedua tertuduh mengalami kemurungan melampau, selain memberi kerjasama baik daripada awal siasatan hingga kini.

"Saya juga percaya dengan syarat tambahan mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya. Jumlah jaminan tinggi akan seolah-olah menjadi hukuman," katanya.

Hakim membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh sudah tamat tempoh.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini.

Zaim dan Ismanira ditahan reman pada 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 kerana membunuh. Reman pasangan itu tamat hari ini.

Terdahulu, Fahmi berkata, anak guam dan isterinya boleh didakwa atas pertuduhan selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh kanak-kanak autisme itu.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Berikut kronologi kes kehilangan dan pembunuhan Zayn Rayyan

5 Disember 2023

- Ibu Zayn Rayyan berkongsi kisah kehilangan anaknya di Facebook

6 Disember 2023

- Ibu Zayn Rayyan dakwa anaknya hilang ketika menaiki tangga di Blok R kediaman mereka sekitar tengah hari 5 Disember

- Keluarga mangsa ikhtiar perubatan secara Islam dan adakan solat hajat

- 9 malam: Operasi pencarian oleh penduduk dan polis sekitar Apartment Idaman babitkan 2,482 unit kediaman.

- 10 malam: Mayat ditemukan di anak sungai, 100 meter dari kediaman keluarganya oleh penduduk.

- Lokasi anak sungai tempat mayat ditemui adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) sebanyak tiga kali.

- Penemuan mayat diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

7 Disember 2023

- Keluarga Zayn Rayyan masih tunggu laporan bedah siasat

- 5 petang: Polis sahkan Zayn Rayyan dibunuh, bedah siasat dapati ada kecederaan pada tubuh badan mangsa.

- Kes diklasifikasi bunuh ikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

- Jenazah disemadikan di Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

- 6 petang: Lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan ditutup polis yang mula mencari bukti

8 Disember 2023

- Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum ditinggalkan di anak sungai tempat penemuannya.

10 Disember

- Polis cari bukti di sebuah stor berhampiran Blok R selain ambil sampel di kediaman Zayn Rayyan.

- Polis Selangor sahkan setakat ini 48 individu diambil keterangan babitkan ahli keluarga, jiran dan saksi.

- Sampel DNA diambil daripada 228 penduduk perumahan itu

- Pemeriksaan dibuat terhadap 5,628 penghuni babitkan 2,484 kediaman perumahan itu

13 Disember 2023

- Polis temui sehelai stokin dalam takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat dijumpai selepas takungan disedut keluar.

- Tiga individu dipercayai positif dadah ditahan di Apartment Damai hasil saringan DNA kes Zayn Rayyan tetapi tidak berkait kes bunuh itu.

14 Disember 2023

- Polis dapat maklumat dua saksi dakwa terlihat Zayn Rayyan di tingkat dua dan tiga Blok R Apartment Idaman kira-kira 5 petang, hari mangsa dilaporkan hilang.

- Sebanyak 86 keterangan dan 238 DNA sudah diambil polis setakat ini.

23 Disember 2023

- Bukit Aman minta bantuan INTERPOL semak pangkalan data berkaitan beberapa maklumat diperoleh hasil siasatan kes bunuh Zayn Rayyan.

28 Disember 2023

- Polis sahkan tak menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan meskipun tiada petunjuk baharu setakat ini

7 Januari 2024

- Polis sahkan terima maklumat Interpol namun secara am.

6 Februari 2024

- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor tawar ganjaran RM20,000 kepada pihak yang salur maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh Zayn Rayyan.

Ibu Zayn Rayyan ketika dibawa ke Apartmen Idaman untuk melakonkan kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehinggalah mayatnya ditemui 6 Disember lalu.
Ibu Zayn Rayyan ketika dibawa ke Apartmen Idaman untuk melakonkan kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehinggalah mayatnya ditemui 6 Disember lalu.

21 Mac 2024

- Polis nafi lambat bertindak dalam siasatan pembunuhan

- Polis Selangor tegaskan sudah berusaha sejak hari pertama Zayn Rayyan dilaporkan hilang

8 Mei 2024

- Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tegaskan polis tidak pernah menutup siasatan kes bunuh Zayn Rayyan dan masih menanti petunjuk baharu.

31 Mei 2024

- Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di Puncak Alam, Selangor, pada jam 10 pagi.

1 Jun 2024

- Ibu bapa Zayn Rayyan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya

7 Jun 2024

- Tempoh reman ibu dan bapa Zayn Rayyan disambung enam hari lagi

10 Jun 2024

- Ibu Zayn Rayyan dibawa kembali ke Apartment Idaman untuk lakon semula situasi kejadian semasa kehilangan kanak-kanak itu sehinggalah mayatnya ditemui 6 Disember lalu

12 Jun 2024

- Datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan anggota D9 Selangor jam 2.30 petang.

13 Jun 2024

- Ibu dan bapa Zayn Rayyan dituduh di mahkamah kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal

Berita Harian X