Khamis, 13 Jun 2024 | 9:45am

TERKINI: Ibu bapa Zayn Rayyan boleh dikenakan tuduhan selain Seksyen 302 kerana membunuh - Peguam

PETALING JAYA: "Boleh, itu saya boleh sahkan,'" kata peguam bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika ditanya sama ada pendakwaan terhadap anak guam dan isterinya boleh dibuat selain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh kanak-kanak autisme itu.

Peguam, Fahmi Abd Moin, berkata ketika ini, pihaknya tidak boleh mendedahkan inti pati kes itu kerana tidak mahu mendahului pihak pendakwaan yang membawa kes berkenaan.

Peguam, Fahmi Abdul Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Peguam, Fahmi Abdul Moin yang mewakili bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

"Apa yang dimaklumkan oleh polis akan ada pertuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan.

"Persoalan apakah pertuduhan yang akan dibawa dan di mahkamah mana, saya tidak dapat dedahkan dahulu dan mendahului pihak pendakwaan.

"Mereka (pendakwaan) akan membawa pertuduhan sekejap saja lagi, tunggu kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dan lihat apa pertuduhan sebaik mereka sampai," katanya.

Nasib ibu bapa Zayn Rayyan yang direman bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme terbabit akan diketahui hari ini, sama ada didakwa atau dibebaskan dengan jaminan polis.

Reman terhadap suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman selama 13 hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Hari ini adalah hari terakhir (ibu bapa Zayn) direman, hari ke-13. Hari ini adalah keputusan, saya percaya kertas siasatan sudah sampai ke pihak Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Mereka (AGC) akan akses dan teliti serta lihat dan membuat keputusan sama ada lepas dengan jaminan polis atau dituduh.

"Semua kena bersabar dan kita tunggu. Penekanan kami seperti rakyat Malaysia ingin nasib arwah (Zayn Rayyan) dibela dan diberi keadilan," katanya.

Ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin diiringi polis selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin diiringi polis selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Semalam BH Online melaporkan pegawai penyiasat polis membawa ibu Zayn Rayyan Abdul Matiiin ke Mahkamah Majistret untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.

Peguam bela ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat, dipetik berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Sebaliknya, ibu Zayn Rayyan dikatakan hanya memberi keterangan kepada Majistret.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Berita Harian X