Khamis, 13 Jun 2024 | 9:20am

Kes Zayn Rayyan: Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jadi tumpuan

PETALING JAYA: Kompleks Mahkamah di sini hari ini menjadi tumpuan pengamal media bagi mendapatkan perkembangan terkini kes kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiiin yang ditemui maut akibat dibunuh Disember tahun lalu.

Fokus ke arah ibu bapa Zayn Rayyan yang dijangka berdepan pendakwaan pagi ini, selepas direman selama 13 hari sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak berkenaan.

Setakat jam 8 pagi, pengamal media hanya berkumpul di luar mahkamah berikutan tidak dibenarkan masuk.

Peguam yang mewakili Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, tiba di mahkamah pagi ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Peguam yang mewakili Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, tiba di mahkamah pagi ini. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kompleks itu dikawal ketat pengawal keselamatan dengan keadaan terkini masih terkawal tanpa insiden tidak diingini berlaku.

Turut kelihatan beberapa individu dipercayai ahli keluarga Zayn Rayyan.

Antara wakil media yang hadir seawal jam 7 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mengikuti kes ibu bapa Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara wakil media yang hadir seawal jam 7 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mengikuti kes ibu bapa Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Terdahulu, Fahmi Abd Moin peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, mengesahkan suami isteri itu menghadapi pertuduhan hari ini.

"Ya, ada tuduhan ke atas kedua-dua anak guam," katanya tetapi tidak dapat mengesahkan intipati pertuduhan yang bakal dihadapi suami isteri itu.

Untuk rekod, reman terhadap suami isteri itu tidak akan disambung lagi selepas direman 13 hari berakhir hari ini.

Terdahulu, pasangan suami isteri berusia 28 tahun itu ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu sebelum direman tujuh hari hingga 7 Jun lalu.

Pada 7 Jun lalu, kedua-duanya telah disambung reman enam hari lagi dan tempoh reman tamat hari ini.

Semalam, pegawai penyiasat polis membawa ibu Zayn Rayyan Abdul Matiiin ke Mahkamah Majistret untuk memohon bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme berkenaan.

Peguam bela wanita itu, Mahmud Jumaat, dipetik berkata pihaknya membantah permohonan terbabit yang dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Sungai Buloh selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Antara wakil media yang hadir seawal jam 7 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi mengikuti perkembangan kes ibu bapa Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Antara wakil media yang hadir seawal jam 7 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi mengikuti perkembangan kes ibu bapa Zayn Rayyan. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X