Rabu, 12 Jun 2024 | 11:57pm
Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (tiga dari kiri) mengumumkan Joohari Ariffin (empat dari kiri) sebagai calon Pakatan Harapan pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara. Foto NSTP Danial Saad
Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (tiga dari kiri) mengumumkan Joohari Ariffin (empat dari kiri) sebagai calon Pakatan Harapan pada Malam Pengumuman Calon Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara. Foto NSTP Danial Saad

PH umum Joohari sebagai calon PRK DUN Sungai Bakap

NIBONG TEBAL: Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai depan.

Pemilihan itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di pekarangan tapak parkir sebuah pasar raya di Bandar Tasek Mutiara, di sini, malam ini.

Rafizi berkata, Joohari yang lahir di Permatang Pasir Seberang Perai, di sini membesar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap dipilih menjadi calon selepas direstui oleh semua pimpinan kerajaan Perpaduan.

"Calon yang kita tampil ini adalah kena dengan kehendak (rakyat) yang pertama adalah anak tempatan yang boleh jaga orang di sini.

"Kedua orang cerdik pandai dan ketiga calon yang bukan sahaja jaga tanggungjawab buat hanya untuk aku (diri sendiri) tetapi untuk anak-anak aku (generasi akan datang) sebab itu kita perlukan calon ini (mewakili Perpaduan untuk bertanding)," katanya.

Pada majlis itu, Joohari turut menandatangani surat Aku Janji Calon Perpaduan bagi mewakili gabungan berkenaan untuk bertanding menawan semula Sungai Bakap yang pernah menjadi milik PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Hadir sama dalam majlis pengumuman calon itu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO , Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek dan barisan pimpinan negeri yang lain.

Untuk rekod, Joohari, 60, yang menetap di Taman Ilmu, di sini adalah bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau begitu aktif dalam kerja amal dan kemasyarakatan hingga dikenali sebahagian ibu bapa dan pelajar, guru serta penjawat awam di sekitar DUN Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Berita Harian X