Rabu, 12 Jun 2024 | 5:07pm
Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kerajaan tumpu penyasaran subsidi diesel sekarang, RON95 kemudian nanti - MKII

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan subsidi diesel bersasar terlebih dulu buat masa ini, jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau mengulas mengenai tempoh pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 selepas mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang membabitkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan bantuan tunai BUDI MADANI bermula Isnin lalu.

Kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada jam 12 tengah malam pada Isnin di stesen minyak seluruh Semenanjung, sementara harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

"Buat masa sekarang fokus pelaksanaan adalah subsidi diesel. Kita bermula dengan diesel dulu. Bila sudah stabil, kita tengok apa boleh dibuat (selepas itu)," katanya ditemui selepas menyampaikan ucaptama di Sasana Symposium 2024 (SS2024) anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - Foto fail NSTP/Aswadi Alias

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, subsidi diesel bersasar bermula Isnin lalu memperlihatkan harga runcit diesel di stesen minyak di Semenanjung dinaikkan kepada RM3.35 seliter.

Beliau berkata, tujuan pelaksanaan subsidi diesel bersasar itu adalah untuk mengurangkan ketirisan dalam negara yang mana banyak subsidi keluar ke negara jiran dan sektor tidak berhak mendapat subsidi.

Katanya, dengan pelaksanaan subsidi bersasar itu menampakkan kejayaan dari segi pengurangan ketirisan membabitkan diesel di sempadan negara.

Jelasnya, berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada syarikat minyak menyatakan volum diesel di stesen yang berada di sempadan negara telah merosot berbanding sebelum ini.

"Kita nampak inisiatif (subsidi diesel bersasar) berjaya mengurangkan ketirisan," katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah juga menyeru supaya mereka yang layak untuk mendapat bantuan subsidi membuat permohonan.

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel memperlihatkan kerajaan menetapkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah kad fleet bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter

Diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter.

Kerajaan juga menyediakan bantuan tunai BUDI Individu sebanyak RM200 sebulan kepada warga negara Malaysia yang memiliki kenderaan diesel persendirian untuk menampung perbelanjaan bahan api diesel yang meningkat dan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 sebulan bagi petani kecil dan pekebun kecil komoditi untuk mengurangkan kesan kepada punca pendapatan mereka.

Berita Harian X