Rabu, 12 Jun 2024 | 1:35pm
Pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit. - Foto fail NSTP
Pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit. - Foto fail NSTP

Pemilik kenderaan logistik belum terima kad fleet boleh mohon bayaran balik 1 Julai ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membangunkan mekanisme interim membabitkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 namun belum mendapat fleet card.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan menjelaskan, pemilik kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima fleet card boleh memohon pembayaran semula ini bermula pada 1 Julai melalui portal BUDI MADANI

https://budimadani.gov.my.

"Pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit. Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun ini," katanya.

Katanya, mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu.

"Oleh itu, kerajaan menyarankan semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon fleet card secepat mungkin melalui portal https:/mysubsidi.kpdn.gov.my," katanya.

Katanya, mekanisme ini adalah kaedah sementara untuk menampung perbezaan harga antara harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dan harga SKDS 2.0 sebanyak RM2.15 seliter.

Sementara itu, memetik Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah, berkata kerajaan giat

memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya.

Terutamanya kata beliau, membabitkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

"Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik.

"…kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

"Pembayaran semula secara tunai inilangkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel," katanya.

Berita Harian X