Rabu, 12 Jun 2024 | 9:57am
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel akan pertimbang syor perluas jenis kenderaan - Armizan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel akan mempertimbang permintaan terhadap cadangan memperluas jenis kenderaan pengangkutan barangan dalam senarai layak menikmati subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pertimbangan juga dibuat bagi meningkatkan kuota asas sedia ada di bawah SKDS 1.0 bagi jenis kenderaan pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres.

"KPDN sedang meneliti semua asas permohonan dan rayuan ini dan akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh KPDN, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam

Darat dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengemukakan syor bagi semua rayuan berkenaan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.

Katanya, usaha itu dilakukan selepas KPDN menerima permohonan terus daripada beberapa pihak bagi menambah baik SKDS, susulan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bermula Isnin lalu.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini memaklumkan, syarikat yang ingin memohon diesel bersubsidi SKDS 2.0 perlu memastikan kenderaan milik syarikat memenuhi 23 kategori kenderaan layak yang disenaraikan MOF.

Menerusi SKDS 2.0 ketika ini hanya membabitkan 23 kategori kenderaan layak beroperasi di Semenanjung iaitu antaranya kenderaan jenis Lori Rigid - Kargo Am, Penggerak Utama, Lori Rigid – Refrigerated, Lori Rigid - Tangki Tepung, Lori Rigid - Luton/Kotak, Window Van, Lori Rigid - Tangki Air dan Panel Van.

Jenis kenderaan lain yang turut disenaraikan ialah Lori Rigid - Minuman Botol, Lori Rigid – Curtainsider, Lori Food Catering, Lori Rigid - Hasil Pertanian, Lori Tangki Rigid – Minuman, Lori Rigid - Kandang Haiwan, Semi - Panel Van.

Selain itu, Lori Rigid – Kombinasi, Bas Perkhidmatan Bergerak, Lori Rigid - Open Platform, Van Perkhidmatan Bergerak, Bas Food Catering, Van Food Catering, Lori Rigid - Perkhidmatan Bergerak dan Lori Rigid – Sampah.

Sejak Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter, sementara harga runcit bahan api berkenaan di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Susulan langkah penyasaran subsidi itu, ramai pihak mengeluh dan meminta kerajaan memperluaskan agihan subsidi diesel bagi menampung peningkatan kos yang ditanggung mereka.

Berita Harian X