Rabu, 12 Jun 2024 | 9:52am
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto NSTP

RCI Batu Puteh: Mahkamah Tinggi tolak permohonan Tun M

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dijalankan secara terbuka.

Hakim Datuk Amarjeet Singh juga menolak permohonan sama yang dikemukakan Dr Mahathir bagi perintah melarang Tun Md Raus Sharif daripada bertindak sebagai Pengerusi RCI dan menghalang Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dan Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir daripada menjadi ahli RCI.

Amarjeet turut menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu untuk menangguhkan prosiding RCI sehingga penyelesaian akhir permohonan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Dr Mahathir supaya dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding berkenaan.

Peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika ditemui media selepas tamat prosiding berkata, pihaknya berkemungkinan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Katanya, Dr Mahathir akan memberi keterangan pada prosiding RCI pada jam 11 pagi ini di Bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Putrajaya.

Dr Mahathir memfailkan permohonan itu pada 5 Jun lalu, dengan menamakan Md Raus dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden pertama dan kedua.

Manakala, ahli RCI iaitu Baljit, Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin, Prof Datin Dr Faridah Jalil, Datuk Mohammed Ridha, Dickson Dollah dan Setiausaha RCI, Zamri Misman dinamakan sebagai responden ketiga hingga kelapan.

Dr Mahathir selaku pemohon, turut memohon satu perisytiharan bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI, atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat oleh suruhanjaya berkenaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya, Dr Mahathir berkata beliau dinasihati oleh peguam, bahawa pelantikan Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan kecenderungan berlakunya ketidakadilan dan berat sebelah.

Beliau berkata, sesungguhnya wujud perselisihan faham di antara Raus dengannya dan tidak diragukan lagi bahawa perkara itu akan memberi kesan terhadap ketelusan responden pertama (Raus) dalam memberikan keputusan dalam prosiding RCI.

Dr Mahathir berkata, beliau juga dinasihatkan oleh peguamnya, bahawa perintah atau keputusan RCI adalah ultra vires (bertentangan) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, kerana selaku individu yang menjadi subjek dalam siasatan, dia berhak diwakili peguam pilihan.

Katanya, beliau percaya hak untuk hadir dan diwakili oleh peguam hanya akan sempurna dan berkesan sekiranya beliau atau peguam diserahkan dengan dokumen, senarai saksi dan lain-lain keterangan yang akan dikemukakan pada siasatan RCI.

Dr Mahathir berkata, keputusan RCI untuk tidak mengadakan peosiding secara terbuka kepada orang awam, adalah tidak munasabah.

Berita Harian X