Rabu, 12 Jun 2024 | 8:53am

Kes reman ibu bapa Zayn Rayyan: Kompleks Mahkamah PJ dikawal ketat

PETALING JAYA: Kompleks Mahkamah, di sini, hari ini menjadi tumpuan orang ramai termasuk pengamal media bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes reman ibu bapa kanak-kanak autism, Zayn Rayyan Abdul Matiiin yang dibunuh.

Namun, pengamal media hanya berada di luar mahkamah berikutan tidak dibenarkan masuk, sebaliknya hanya mereka yang mempunyai urusan saja boleh berbuat demikian.

Pada jam 9.20 pagi, pengamal media akhirnya dibenarkan berkumpul di lobi mahkamah.

Kompleks itu dikawal ketat pihak berkuasa sejak ketibaan orang ramai dan pengamal media pada jam 7.30 pagi.

Semalam, media melaporkan kehadiran pasangan suami isteri itu di kediaman serta lokasi mayat kanak-kanak itu ditemukan adalah sebahagian proses melengkapkan siasatan kes.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, dipetik berkata ia antara prosedur perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, perkembangan lanjut sama ada siasatan kes itu sudah lengkap atau sebaliknya serta status reman ibu bapa kanak-kanak berkenaan akan dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Kelmarin, ibu kepada Zayn Rayyan dibawa semula ke kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai serta lokasi mayat ditemukan berhampiran rumah mereka, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak sehingga mayatnya ditemui.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Sebahagian pengamal media dan ahli keluarga kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berkumpul diluar perkarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya berikutan polis memohon sambungan reman ibu bapa kanak-kanak bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa, hari ini. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Sebahagian pengamal media dan ahli keluarga kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin berkumpul diluar perkarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya berikutan polis memohon sambungan reman ibu bapa kanak-kanak bagi membantu siasatan pembunuhan mangsa, hari ini. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X