Selasa, 11 Jun 2024 | 2:42pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pesawah bimbang kos pengeluaran padi meningkat musim depan

ALOR SETAR: Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bimbang kos pengeluaran padi terutama membabitkan sewa jentera meningkat susulan penstrukturan semula subsidi diesel bermula semalam.

Pengerusi Badan Bertindak Petani di Kawasan MADA, Che Ani Mat Zain, berkata ini kerana jentera pertanian seperti mesin menuai, traktor dan lori tidak disenarai dalam pemberian subsidi diesel.

Jelasnya, kesan kenaikan kos pengeluaran akan dirasai bermula musim menuai dan menanam padi akan datang apabila penggunaan jentera diperlukan bagi kedua-dua proses itu.

"Musim lalu, sewa mesin menuai adalah RM450 serelung (0.3 hektar), selain itu pesawah juga perlu sewa traktor untuk membajak tanah sebelum proses menanam padi dapat dimulakan setiap musim.

"Saya jangka kadar sewa akan naik antara 20 hingga 30 peratus bergantung kepada kawasan kerana sawah yang berair memerlukan lebih banyak penggunaan diesel," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Ani berkata, sebagai petani mereka tidak mempunyai banyak pilihan kerana tetap perlu menyewa jentera bagi memudahkan kerja tanaman padi setiap musim.

Katanya, kerajaan sepatutnya mengkaji terlebih dahulu langkah penyasaran subsidi yang didakwa membebankan pesawah.

"Pemilik jentera padi mesti menaikkan harga sewa mereka kerana perlu tampung kos akibat kenaikan harga diesel, akhirnya mereka akan pindahkan kos itu kepada pesawah yang terpaksa sewa jentera daripada mereka.

"Saya harap pemberian subsidi diesel ini turut diperluas kepada pesawah juga kerana kami membantu negara menghasilkan padi untuk kegunaan semua rakyat di negara ini," katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan penstrukturan semula subsidi diesel yang menyaksikan bahan bakar itu tanpa subsidi dijual pada kadar RM3.35 seliter di semua stesen minyak runcit di seluruh Semenanjung bermula semalam.

Bagaimanapun sektor pengangkutan awam, pertanian dan pemilik kenderaan diesel individu boleh memohon untuk menerima subsidi yang menyaksikan harga bahan bakar ituseperti sebelum ini.

Terdahulu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini memaklumkan seramai 130,000 pesawah di Semenanjung akan menerima bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim.

Kementerian itu memaklumkan, bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim itu susulan langkah menaikkan insentif pembajakan dan pengenalan insentif penuaian.

KPKM telah mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentifpembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.

KPKM juga turut memperkenalkan insentif baru iaitu insentif penuaian

pada kadar RM50 per hektar per musim.

Berita Harian X