Isnin, 10 Jun 2024 | 4:03pm
Rubiah (dua, kiri), menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada Nur Irdiena Natasya (kiri), yang diiringi bapanya, Barni Abdullah, (kanan), dan ibunya, Zuraidah Madi, pada Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Pembukaan IPMA 2024 di WTCKL. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Rubiah (dua, kiri), menyampaikan Anugerah Graduan Terbaik kepada Nur Irdiena Natasya (kiri), yang diiringi bapanya, Barni Abdullah, (kanan), dan ibunya, Zuraidah Madi, pada Majlis Perasmian dan Pengisytiharan Pembukaan IPMA 2024 di WTCKL. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Graduan wanita bidang robotik terima anugerah terbaik konvokesyen IPMA

KUALA LUMPUR: Cemerlang dalam bidang robotik yang biasa didominasi lelaki membolehkan Nur Irdiena Natasya Barni, 22, diangkat sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik pada Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pengajian MARA (IPMA) 2024.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Robotik dan Automasi) MARA Japan Industrial Institute (MJII) itu antara tiga penerima anugerah terbaik.

Turut disampaikan pada majlis itu adalah Anugerah Graduan Cemerlang Program Sijil dan Diploma; Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang serta Anugerah Khas Industri.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan kerana bidang elektronik itu mempunyai cabaran tersendiri.

Katanya, dia sedar bidang itu berisiko terutama bagi seorang wanita, namun kerana minat mendalam dia rela mengharunginya.

"Saya minat dalam bidang robotik sejak di zaman persekolahan lagi kerana menyertai Kelab Robotik ketika berada di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

"Apabila mendapat tahu MJII menawarkan bidang ini, tanpa membuang masa saya memohon dan syukur diterima.

"Banyak cabaran sepanjang tiga tahun pembelajaran terutama ketika dua tahun pertama apabila perlu belajar secara dalam talian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya selepas Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Anak kelahiran Tangkak, Johor itu antara 8,447 graduan yang menerima sijil dan diploma pada majlis disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Awang.

Nur Irdiena berkata, dia akan menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi dan berharap suatu hari nanti cita-citanya menjadi pensyarah dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tercapai.

Sementara itu, penerima Anugerah Graduan Keusahawanan Cemerlang, Mohamed Al-Aliff Hamzah, 29, berkata dia tidak menyangka walaupun lewat menyambung pengajian, tetapi ia bukan halangan untuknya cemerlang dan menerima anugerah itu.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia berharap sesiapa sahaja yang merasakan perlu mendapatkan lebih banyak ilmu pengetahuan, jangan berasa malu untuk menyambung pengajian.

"Usia bukan penghalang untuk menyambung pengajian malah MARA sendiri menawarkan pelbagai platform yang sesuai dengan kehendak kita jadi jangan lepaskan peluang yang ada," kata pemegang Diploma Teknousahawan Elektrik dari Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara.

Sementara itu, graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan Bangunan dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, Ahmad Muizuddin Mohd Radzi, 22, berkata dia bersyukur kerana menerima Anugerah Graduan Cemerlang Program Diploma.

Katanya, dia yakin ia berikutan pencapaiannya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat

antarabangsa WorldSkills Asia Abu Dhabi 2023 hingga berjaya memperoleh Medalion of Excellent dalam bidang 'Bricklaying'.

"September ini saya akan menyertai pertandingan yang sama tetapi di Perancis dan berharap dapat membawa pulang piala emas pula selepas ini," katanya yang sudah mendapat tawaran pekerjaan di United Kingdom (UK) Oktober ini sebagai pekerja mahir bata.

Berita Harian X