Isnin, 10 Jun 2024 | 3:54pm

TERKINI: Siasatan di lokasi berpandukan keterangan ibu Zayn Rayyan selesai

PETALING JAYA: Pasukan siasatan terhadap kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, di lokasi kejadian dekat Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, selesai kira-kira jam 2 petang tadi.

Siasatan berakhir sebaik kenderaan yang membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, meninggalkan kawasan perumahan itu pada jam 2.08 petang, bersama kenderaan dinaiki Timbalannya, Deputi Komisioner Fadil Marsus.

Lima minit kemudian semua kenderaan dinaiki pasukan penyiasat dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) keluar dari lokasi kejadian sebelum laluan yang ditutup ketat oleh pihak polis sejak jam 9.45 pagi dibuka semula secara keseluruhan.

Berdasarkan tinjauan BH di lokasi, hanya ibu Zayyan yang juga saksi yang kini berada dalam tahanan polis dibawa ke lokasi bagi tujuan lakonan semula situasi di lokasi kejadian.

Sehingga proses siasatan berakhir, kelibat suami wanita itu yang turut berada dalam tahanan reman polis tidak kelihatan.

Suasana di kediaman Allahyarham Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Suasana di kediaman Allahyarham Zayn Rayyan di Apartment Idaman, Damansara Damai. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Sumber di lokasi kejadian memaklumkan, sepanjang siasatan hari ini, wanita itu dibawa kembali ke kediamannya di Blok R, Apartmen Idaman, selain turut dibawa ke kawasan anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari situ iaitu lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui mati pada jam 9.50 malam, 6 Disember lalu.

Setakat ini pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siasatan yang dilakukan kepada pihak media.

BH juga sedang menunggu maklumat lanjut daripada Mohd Shuhaily dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Berita Harian X