Isnin, 10 Jun 2024 | 12:31pm

TERKINI: Selesai di rumah, ibu Zayn Rayyan dibawa ke sungai lokasi penemuan mayat anaknya

PETALING JAYA: Kelibat ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dilihat dibawa turun dari kediamannya menuju ke lokasi mayat kanak-kanak berkenaan ditemui.

Suspek kelihatan diiringi dan dikawal ketat anggota polis pada jam 11.06 pagi menuju ke arah sungai lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui pada malam 6 Disember lalu.

Wanita berkenaan yang berpakaian lokap kelihatan menundukkan kepala ketika dibawa turun sekumpulan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Terdahulu, ibu kepada kanak-kanak berkenaan dibawa ke kediaman mereka di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian.

Wartawan BH yang berada di lokasi mendapati wanita itu tiba kira-kira jam 10.15 pagi dengan menaiki van putih menuju ke blok R kediaman terbabit.

Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. - Foto BERNAMA
Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. - Foto BERNAMA

Difahamkan, suspek akan di bawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemui iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan bagi melakonkan semula kejadian.

Sebelum ini polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh, susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Mayat Zayyan Rayyan ditemukan pada jam 9.50 malam, 6 Disember lalu ketika pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, bersama penduduk Apartmen Idaman, Damansara Damai, sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat pada jam 8. 30 malam sebelum mayatnya ditemui lebih sejam kemudian.

Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. - Foto BERNAMA
Polis mengawal ketat laluan masuk ke kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Mateen, di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X