Ahad, 9 Jun 2024 | 8:32pm
Pelajar menunjukkan kemahiran mengendali dron ketika menyertai pertandingan Drone Soccer League pada Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat. Foto hiasan NSTP
Pelajar menunjukkan kemahiran mengendali dron ketika menyertai pertandingan Drone Soccer League pada Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat. Foto hiasan NSTP

Kerajaan Perak bantu pelajar tercicir SPM sambung pengajian bidang TVET

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan membantu 655 pelajar yang tercicir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 melanjutkan pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, berkata buat masa ini, usaha untuk menjejaki pelajar yang keciciran ini akan dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bersama beberapa pihak terbabit.

"JPN perlu kenal pasti mereka ini terlebih dahulu kerana dikhuatiri ada antara mereka yang telah mempunyai kerjaya sendiri dan sebagainya.

"Sekiranya tiada masalah, maka mereka ini akan kita bantu untuk pastikan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang TVET yang dilihat sebagai satu peluang untuk meningkatkan kemahiran, menambah ilmu pengetahuan dan peluang kerjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Kem Belia Kreatif 2024 di Bazar Ipoh, yang turut disertai lebih 100 individu, di sini hari ini.

Pada 30 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu lepasan SPM, khususnya 10,160 orang yang tidak hadir peperiksaan itu agar melanjutkan pengajian dalam TVET kerana bidang itu boleh menjadi peluang kedua, sekali gus dapat membina kerjaya pada masa depan.

Sementara itu, Khairudin berkata, pihaknya optimis perkara itu dapat direalisasikan memandangkan lebih 60 daripada 100 institusi pendidikan di Perak menawarkan pengajian yang menjurus kepada bidang TVET.

"Jadi, kita kena gunakan platform ini untuk membantu supaya pelajar yang tercicir ini ada ruang dan peluang bagi meningkatkan pengetahuan mereka dan pada masa sama menyumbang kepada tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan kemahiran," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri bakal menganjurkan satu karnival TVET secara besar-besaran di Perak pada 14 Julai ini yang bertujuan memberi pendedahan dan tawaran kepada mana-mana pelajar yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan.

"Dalam karnival itu nanti kita akan bawakan institusi-institusi pengajian yang terlibat dalam penawaran pengajian bidang TVET ini untuk memberi penjelasan atau makluman berhubung perkara berkenaan.

"Di situ juga nanti, mana-mana yang berminat boleh mendaftarkan diri untuk mengikuti bidang pengajian yang dirasakan sesuai untuk diri masing-masing," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X