Ahad, 9 Jun 2024 | 10:13am
BOMBA sedang melakukan pemadaman di lokasi kebakaran kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang. - Foto JBPM
BOMBA sedang melakukan pemadaman di lokasi kebakaran kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang. - Foto JBPM

Bomba Selangor giat padam 8 lagi kontena masih terbakar

KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat meneruskan operasi memadam lapan daripada 14 kontena yang terbakar di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, setakat jam 7.40 pagi tadi, sebanyak lima kontena berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba.

Beliau berkata, ia menjadikan semua yang berjaya dipadamkan sebanyak enam kontena termasuk sebuah kontena semalam.

"Ketika ini, masih berbaki lapan kontena sedang dipadamkan dengan kerja-kerja pengasingan. Pasukan menggunakan bantuan jentera (ALP ) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya untuk operasi pemadaman.

"Sekarang di peringkat 'overhaul'. Dianggarkan operasi pemadaman membabitkan baki kontena yang terbakar selesai pada tengah hari," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran meningkat sehingga 14 kontena semalam berikutan ada kontena terbakar di bahagian dalam.

"Petang semalam, kerja-kerja pangasingan kontena yang terbakar dilakukan oleh pihak West Port dengan dipantau oleh anggota bomba," katanya.

Terdahulu, Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dilapor berkata, kebakaran 14 kontena berukuran 12.1 meter setiap satu (40 kaki) berjaya dikawal pada jam 2.39 petang semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati semua kontena berkenaan mengandungi pelbagai barangan merangkumi kertas, besi keluli, kayu pokok pain, bahan mineral, aluminium dan mesin basuh untuk dobi.

"Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan panggilan kejadian diterima pada jam 1.40 tengah hari, sebelum 24 anggota bergegas ke lokasi bersama tujuh jentera termasuk EMRS. Semuanya dari BBP Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Andalas dan Shah Alam," katanya.

Berita Harian X