Sabtu, 8 Jun 2024 | 4:30pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menganugerahkan Pingat Bintang Seri Maharajalele -Emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC merangkap Ahli Majlis Pengakap Negeri Perak, Datuk Yahanis Yahya (kiri) pada Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat Dan Sijil Pengakap Raja Tahun 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. - NSTP/L MANIMARAN
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menganugerahkan Pingat Bintang Seri Maharajalele -Emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC merangkap Ahli Majlis Pengakap Negeri Perak, Datuk Yahanis Yahya (kiri) pada Istiadat Penganugerahan Bintang, Pingat Dan Sijil Pengakap Raja Tahun 2024 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. - NSTP/L MANIMARAN

Sultan Nazrin sampaikan bintang kehormat pengakap

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Perak 2024 kepada 278 penerima,

Majlis istiadat penganugerahan berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Baginda menyampaikan pengiktirafan kepada 222 pemimpin pengakap semua peringkat yang dianugerahkan bintang dan pingat PPM, termasuk enam orang pemimpin pengakap luar negara dari Filipina, India, dan Thailand.

Pengiktirafan Pengakap Raja turut disampaikan kepada 56 ahli pengakap Perak yang lulus ujian dengan cemerlang bagi lulusan 2021 dan 2022.

Mendahului senarai penerima bintang dan pingat PPM ialah Pengerusi Jawatankuasa Wilayah Asia Pasifik yang juga Presiden Kebangsaan Pengakap Filipina, Dale Bokingo Corvera dan Cif Komisioner Bharat Scouts and Guides, Mohammed Ali Khalid, yang dianugerahkan Bintang Semangat Rimba Emas (BSR-E).

BSR-E yang juga anugerah ketiga tertinggi PPM disampaikan dengan penganugerahan terhad kepada tokoh yang memberi perkhidmatan dan bakti amat terpuji kepada pergerakan Pengakap.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada majlis itu disambut Ketua Pengakap Negara, Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Perak.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Mohd Zin dalam sembah ucapannya berkata, PPM giat mempromosi dan memajukan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kegiatannya bagi menggalakkan perkembangan idea, kreativiti dan inovasi melalui pelaksanaan aktiviti saintifik, selaras perkembangan revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

"Warisan dan sejarah kepengakapan di Malaysia adalah siri kisah benar gemilang-gemilang dan bewarna-warni. Kisah pergerakan pengakap di Malaysia wajar didedahkan kepada generasi mendatang untuk dijadikan wadah pembangunan modal insan negara," katanya.

Berita Harian X