Jumaat, 7 Jun 2024 | 10:01am
Foto hiasan
Foto hiasan

Hujan dan ribut petir diramal di kebanyakan negeri hingga Ahad ini

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat terutamanya di sebelah petang di kebanyakan negeri mulai hari ini hingga Ahad.

Menerusi hantaran yang dikeluarkan hari ini, ribut petir dan hujan lebat diramalkan di Perlis dan Kedah membabitkan daerah di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

Selain itu, METMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan lebat di sekitar Pulau Pinang serta Perak di daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama.

Cuaca buruk turut menjejaskan Sarawak iaitu di Kuching (Bau dan Kuching), Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit, Bintulu dan Miri (Telang Usan).

Sabah pula membabitkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Kudat (Kota Marudu dan Kudat)serta Labuan.

Pada Sabtu, kebanyakan kawasan di Semenanjung diramal hujan dan ribut petir termasuk di Perak, Kelantan dan Terengganu manakala di sebelah malam, hujan diramal di beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Sementara di Sarawak pula, ribut petir dijangka di kawasan Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang manakala Sabah pula diramalkan di kawasan pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan.

Pada Ahad ini pula, MetMalaysia meramalkan ribut petir di beberapa tempat kawasan pantai termasuk di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah dan Pahang.

Sarawak dijangka mengalami ribut petir di beberapa kawasan termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Bintulu, Mukah, Miri dan Limbang selain Sabah membabitkan Sandakan dan Kudat.

Berita Harian X