Jumaat, 7 Jun 2024 | 8:32am
Foto fail BERNAMA
Foto fail BERNAMA

JPV Terengganu beri kelonggaran ibadah korban di luar rumah sembelih

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu memberi kelonggaran umat Islam di negeri itu melakukan penyembelihan ibadah korban di luar rumah sembelih sempena Aidiladha.

Pengarah JPV negeri, Dr Anun Man berkata, penganjur ibadah korban perlu memohon permit daripada jabatan itu yang sudah dibuka sejak Ahad lalu dan akan ditutup pada Rabu ini.

"Kita amat menggalakkan semua penyembelihan ibadah korban dilakukan di tujuh rumah sembelih milik JPV dan sembilan lagi premis yang dikendalikan pihak swasta.

"Tapi kita bersetuju memberi kelonggaran selepas rumah sembelih milik JPV dan swasta tidak mampu menampung penyembelihan ibadah korban," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Anum berkata, sebanyak 267 permit sembelih luar membabitkan 694 lembu diluluskan bagi pelaksanaan ibadah korban sejak dibuka Ahad lalu.

Katanya, JPV menganggarkan akan berlaku peningkatan permohonan permit sembelih luar minggu depan.

"Kita juga turut menjangkakan akan berlaku peningkatan permohonan kemasukan ternakan daripada luar ke negeri ini.

"Sejak permohonan pemindahan ternakan terutama lembu, kambing dan biri-biri dibuka Ahad lalu, kita sudah meluluskan 53 permit membabitkan 1,301 ternakan ruminan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Anun berkata, walaupun berlaku kenaikan harga antara 10 peratus dan 20 peratus bagi setiap ternakan untuk ibadah korban, tetapi permintaan permit untuk melakukan penyembelihan meningkat.

Katanya, JPV menganggarkan jumlah ternakan yang terbabit dengan ibadah korban tahun ini antara 5,000 hingga 7,000 ekor meliputi semua ternakan ruminan.

"Berdasarkan permohonan permit penyembelihan luar rumah sembeliah, sebanyak 96 peratus atau 6,720 ekor membabitkan lembu, manakala bakinya kambing dan biri-biri.

"JPV negeri juga turut melantik 106 pegawai teknikal dan 19 pegawai penguatkuasa veterinar untuk membuat pemeriksaan daging dan permit kebenaran sembelihan luar serta tempat penyembelihan," katanya.

Dr Anun berkata, pemeriksaan perlu dilakukan bagi memastikan tiada sebarang penyakit berjangkit ternakan sembelihan, selain daging selamat untuk dimakan dan bebas daripada penyakit berjangkit.

"JPV meminta penganjur ibadah korban mematuhi peraturan ditetapkan dan tindakan mengikut Akta Binatang 1953, kaedah-kaedah binatang (kawalan penyembelihan) 2009 akan dikenakan jika pelaksanaan penyembelihan dilakukan tanpa permit sembelihan luar.

Berita Harian X