Khamis, 6 Jun 2024 | 3:52pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

DLP: JPN Pulau Pinang adakan libat urus dengan pihak berkaitan

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sudah memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkaitan bagi menangani isu bantahan Program Dwibahasa (DLP) oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) beberapa sekolah di negeri berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah proaktif itu diambil kerana Kementerian Pendidikan (KPM) komited menyelesaikan isu yang berbangkit bagi memastikan DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasar garis panduan ditetapkan serta mencapai objektifnya.

"KPM mengambil perhatian laporan media mengenai bantahan pelaksanaan DLP di beberapa sekolah di Pulau Pinang.

"Bagi menangani isu bantahan pengendalian DLP yang dibuat oleh PIBG di beberapa buah sekolah di Pulau Pinang, pihak JPN Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains serta Matematik.

Katanya, ia bertujuan untuk membantu murid meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan masa yang lebih melalui PdP mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah.

"Pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh 19 Mac 2024.

"Sekolah yang melaksanakan program DLP perlu memastikan peluang turut disediakan kepada murid yang memohon untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing," katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah perlu memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun atau Tingkatan yang melaksanakan PdP menggunakan bahasa Kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 bagi sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025.

Berita Harian X