Khamis, 6 Jun 2024 | 12:02pm
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan RAMP/Flyover sepanjang 300 meter dari Jalan P15H ke Persiaran Timur Bagi Tujuan Penyuraian Trafik, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan RAMP/Flyover sepanjang 300 meter dari Jalan P15H ke Persiaran Timur Bagi Tujuan Penyuraian Trafik, hari ini. - Foto Bernama

Semua kerja selenggara jalan babitkan penutupan lorong dihentikan mulai 12 hingga 17 Jun

PUTRAJAYA: Semua kerja penyelenggaraan jalan membabitkan penutupan lorong akan dihentikan sementara bermula 12 hingga 19 Jun ini bersempena perayaan Aidiladha tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun, berkata hanya kerja-kerja kecemasan akan dibenarkan.

Beliau berkata, arahan dikeluarkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kesesakan lebuh raya ketika hujung minggu dan musim perayaan serta cuti umum panjang.

"Selain arahan larangan penutupan lorong, pihak syarikat konsesi lebuh raya turut mengaktifkan pelaksanaan 'Smartlane' (kebenaran penggunaan bahu jalan) di lokasi yang dikenalpasti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar," katanya kepada media selepas majlis penyerahan projek laluan susur di Presint 15, di sini, hari ini.

Alexander berkata, advokasi kepada pengguna mengenai Smartlane dan keberkesanan tindakan penambahbaikan yang dilaksanakan akan dipantau oleh LLM.

Beliau berkata, LLM turut menggalakkan pengguna untuk membuat perancangan perjalanan melalui nasihat waktu perjalanan (travel time advisory) bagi mengelak tumpuan perjalanan serentak pengguna melalui aplikasi digital iaitu MyPLUS-TTA untuk pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

"Syarikat konsesi akan membuka lebih banyak lorong transaksi serta pelaksanaan kutipan tol secara berlapis (MTL - multiple transactional lane) di plaza tol. Kerja penambahbaikan di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur Karak sudah disiapkan pada April lalu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihak syarikat konsesi akan memperluaskan perlaksanaan sistem kutipan tol secara terbuka (SPT) di semua lebuh raya yang menggunakan sistem tol terbuka.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (TMC, LLM) akan beroperasi selama 24 jam semasa musim perayaan nanti dan pengguna boleh menghubungi TMC LLM di talian 1 – 800 – 88 – 7752 untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik di sepanjang lebuh raya.

Sementara itu, pada majlis penyerahan projek siap kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, di sini, hari ini, Alexander berkata jalan susur bertingkat bernilai RM12.629 juta yang siap dibina di Jalan P15H Presint 15 di sini, mampu mengurangkan kesesakan trafik di laluan utama Presint 15, bulatan lima persimpangan.

Pelaksanaan projek ini adalah hasil kajian dan penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan trafik laluan tersebut terutama pada waktu puncak dan juga menyediakan laluan alternatif bagi hampir 35,000 penduduk Presint 15 dan kawasan sekitarnya.

Berita Harian X