Khamis, 6 Jun 2024 | 11:47am

DLP: KPM akan bertemu Lembaga Sekolah, PIBG di Pulau Pinang

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertemu Lembaga Sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang dalam menyelesaikan bantahan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata beliau dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya Wong Kah Woh akan mengadakan pertemuan bagi meneliti perkara berkenaan.

Katanya, beliau berharap ia akan diselesaikan dengan baik susulan terdapat beberapa pihak telah membuat persepsi tidak benar berkaitan isu berkenaan.

"Saya difahamkan isu berbangkit berkait bantahan PIBG (membabitkan 11 sekolah) mengenai dasar dwi bahasa atau DLP program bagi pengajaran Matematik dan Sains.

"Di sini (isu terbabit) bukan (bermaksud) dihapuskan sepenuhnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Yang mereka sampaikan itu hanyalah pandangan dan bantahan mereka supaya DLP diteruskan dalam bahasa Inggeris (seperti sebelum ini).

"Bagaimanapun, saya telah berhubung dengan Menteri Pendidikan dan memaklumkan bahawa beliau bersama timbalannya akan meneliti perkara ini serta akan bertemu dengan PIBG berkenaan seterusnya menyelesaikan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Sembang Santai bersama Ketua Komunikasi Madani Parlimen Nibong Tebal di sebuah warung di Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, beliau tidak mahu mana-mana pihak cuba mempolitikkan isu berkenaan hingga menimbulkan ketidakharmonian kaum.

"Saya tidak mahu mana-mana pihak menangguk di air keruh dan cuba mempolitikkan (isu ini) serta mengambil sikap dan sentuh 3R (raja, agama dan kaum) yang mana ia sebenarnya cuma pandangan yang disampaikan.

"Berdasarkan laporan sentimen yang telah kita lakukan pagi tadi (didapati) ada beberapa pihak yang keluarkan kata-kata rasis, ambil kesempatan dan buat tohmahan tak baik (mengenai isu) ini hingga (menggugat) ketidakharmonian bagi negara pelbagai kaum," katanya.

Media semalam melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 SMJK dan SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ia berikutan sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah mereka menentang dasar itu dan enggan memasukkan anak mereka ke dalam kelas.

Justeru, mereka menggesa KPM mendengar bantahan, menghormati kehendak ibu bapa dan kembali kepada hasrat asal DLP dalam Sains serta Matematik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ditemui media pada Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di Warung D'Kole, Sungai Bakap. - Foto NSTP/Danial Saad
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ditemui media pada Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di Warung D'Kole, Sungai Bakap. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X