Rabu, 5 Jun 2024 | 4:01pm
Gangguan bekalan air berkala memaksa penduduk ambil langkah awal simpan stok mencukupi bagi menghadapi risiko terputus bekalan. - NSTP/ GENES GULITAH
Gangguan bekalan air berkala memaksa penduduk ambil langkah awal simpan stok mencukupi bagi menghadapi risiko terputus bekalan. - NSTP/ GENES GULITAH

Penduduk mula simpan stok air sejak semalam

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air berkala di sekitar Lembah Klang bermula hari ini memaksa penduduk sekitar Apartment Putra Ria, di sini, mengambil langkah awal menyimpan stok mencukupi bagi menghadapi risiko terputus bekalan.

Rata-rata mereka percaya meskipun bekalan air dalam tangki simpanan kediaman mencukupi untuk kegunaan harian, namun langkah menyimpan stok perlu diambil terutama sekiranya tempoh gangguan bekalan lebih panjang berbanding dimaklumkan.

Peniaga Kuih, Nor Zalipah Kamaluddin, 45, mengakui sudah menadah stok air sejak semalam dan mengasingkan bekalan terbabit mengikut keperluan harian.

"Saya sediakan stok satu tong air untuk berniaga, manakala dua tong lagi untuk kegunaan di bilik mandi, untuk diminum dan juga untuk membersihkan pinggan mangkuk.

"Bekalan air disimpan ini cukup untuk kegunaan ahli keluarga saya terdiri lapan orang. Buat masa ini, kami masih lagi menggunakan air daripada tangki simpanan.

"Sekiranya habis, kami akan gunakan air yang ditadah. Buat masa ini bekalan cukup cuma sekiranya gangguan berlaku lebih lama daripada tarikh dimaklumkan ia mungkin akan mengundang masalah," katanya yang memerlukan air yang banyak kerana perlu mengukus kuih untuk jualan.

Pengusaha kedai runcit yang hanya ingin dikenali Siti Syamilah pula berkata, dia hanya sempat menadah air untuk stok hari ini selepas dimaklumkan penduduk setempat mengenai gangguan bekalan itu.

"Selalunya saya memang akan tadah air untuk simpan lebih awal, tetapi hari ini selepas dapat tahu (ada gangguan bekalan) saya terus minta suami tadahkan air di rumah.

"Kebiasaannya saya simpan air dalam satu tong yang bersaiz besar dan ia cukup untuk kegunaan ahli keluarga terdiri enam orang.

"Dengan bekalan itu, ia cukup untuk tiga hari, tetapi jika kerap ke tandas air akan lebih cepat habis. Kami tidak boleh simpan air lebih daripada satu tong kerana kawasan rumah sempit," katanya.

Terdahulu BH melaporkan, tujuh kawasan di sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula hari ini sehingga Jumaat.

Air Selangor dalam kenyataan di Facebook memaklumkan gangguan itu berikutan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula jam 9 pagi hari ini hingga 7 malam pada 5 Jun.

Berita Harian X