Rabu, 5 Jun 2024 | 9:29am

Dua remaja ditahan, baling pasu ke arah balai polis

SERDANG: Dua remaja lelaki ditahan semalam, selepas dipercayai membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek berusia 17 tahun itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada jam 4 petang.

"Semakan dilakukan mendapati seorang daripada suspek adalah pelajar, manakala suspek kedua adalah penganggur.

"Dipandu arah oleh kedua-dua suspek, kita merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat.

"Ini termasuk kes khianat terhadap pagar Balai Polis Serdang yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek terbabit pada hari yang sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anbalagan berkata, pihak polis turut merampas pakaian yang dipakai oleh kedua-duanya pada hari kejadian dan mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua individu yang tidak puas hati selepas ditegur anggota polis kerana tidak memakai topi keledar bertindak membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang pada 2 Jun lalu.

Berita Harian X