Selasa, 4 Jun 2024 | 4:56pm
Enam Ahli Parlimen BERSATU dan seorang ADUN tergugur keahlian parti, (dari kiri) Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari serta Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Enam Ahli Parlimen BERSATU dan seorang ADUN tergugur keahlian parti, (dari kiri) Zahari Kechik, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Datuk Zulkafperi Hanapi, Mohd Azizi Abu Naim, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Datuk Abdul Rashid Asari serta Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Isu kerusi 6 MP BERSATU, Johari Abdul perlu tafsir peraturan antilompat parti - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Kes membabitkan enam Ahli Parlimen BERSATU bergantung kepada keputusan hasil tafsiran peraturan antilompat parti oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, berpandangan tafsiran istilah 'terlucut secara automatik' dan 'dipecat' perlu dibuat oleh Johari.

"Keputusan daripada Johari perlu bagi menentukan sama ada kerusi enam Ahli Parlimen itu perlu dikosongkan atau tidak," katanya hari ini.

Beliau berpandangan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh dipertikai di mahkamah, namun jika ada pihak tidak berpuas hati, mereka boleh membawa mencabar pentafsiran undang-undang antilompat parti dalam Akta Perlembagaan (Pindaan) (No3) 2022 (Akta A1663) di mahkamah.

"Jika keputusan Speaker Dewan Rakyat kerusi perlu dikosongkan, maka Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan," katanya melihat isu itu menunjukkan betapa pentingnya tafsiran undang-undang dan peranan Speaker dalam memastikan integriti dan keadilan proses politik di Malaysia.

"Apa jua keputusan, ia pasti akan memberikan impak yang signifikan terhadap landskap politik negara," katanya.

Kelmarin, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU digugurkan keahlian serta-merta.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Zulkafperi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari lebih awal dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian mereka dalam BERSATU selepas menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, bulan lalu.

Keahlian mereka tergugur selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setiap kepada parti itu dan sebelum itu menyatakan sokongan kepada pemimpin parti lawan yang menerajui kerajaan.

Surat arahan itu dikeluarkan BERSATU kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaan terhadap parti, susulan pindaan ke atas Fasal 10 Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini memaklumkan, seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN BERSATU sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ia bermakna enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan BERSATU.

Berita Harian X