Selasa, 4 Jun 2024 | 10:51am
Pembekal ternakan, Muhammad Faris Aiman menyediakan 170 ekor lembu untuk ibadah korban kali ini.- Foto NSTP
Pembekal ternakan, Muhammad Faris Aiman menyediakan 170 ekor lembu untuk ibadah korban kali ini.- Foto NSTP

Penternak muda dapat tempahan lembu lebih sekali ganda

KUANTAN: Ketika kebanyakan pembekal lembu korban berhadapan masalah kurang menerima tempahan sempena Aidiladha, episod berkenaan tidak berlaku kepada seorang penternak muda, Muhammad Faris Aiman.

Muhammad Faris, 24 tahun masih mampu menjual ternakannya apabila lebih 170 lembu tempatan Kedah-Kelantan termasuk lembu sado baka Brahaman dan Charolais serta Bali berjaya dijual dan bakal diagih selewat-lewatnya sehari sebelum Aidiladha.

Beliau berkata, tahun lalu hanya mampu menjual kira-kira 80 lembu baka Kedah-Kelantan untuk ibadah korban, namun tahun ini jumlahnya bertambah lebih sekali ganda.

Katanya, pada Aidilfitri lalu sebanyak 120 ekor lembu baka tempatan berjaya dijual secara hidup dan disembelih untuk bekalan kepada empat penjual tetap di daerah berkenaan.

"Saya percaya tawaran harga lebih rendah dan perkhidmatan penghantaran percuma menjadi kelebihan mengapa lembu ternakannya mendapat permintaan menggalakkan bagi musim Aidiladha kali ini .

"Kali ini saya membekalkan lembu kepada sembilan masjid dan beberapa individu di daerah ini, rata-rata mereka adalah pelanggan tetap saya sejak dua tahun lalu. Mereka membuat pembelian antara 10 hingga 18 ekor lembu selepas berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

"Paling utama yang menarik minat mereka untuk terus membeli lembu dengan saya kerana tawaran harga berpatutan, yang mana saya menjual antara RM4,000 hingga RM6,000 mengikut saiz lembu," katanya, di sini, semalam.

Muhammad Faris mengusahakan projek jualan lembu di Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh, dekat sini berkata, beberapa rakan yang terbabit dengan projek jualan lembu ibadah korban di daerah itu mendakwa permintaan haiwan berkenaan kali ini kurang memuaskan berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya beliau bersyukur permintaan terhadap lembu yang disediakannya begitu menggalakkan berbanding sebelum ini.

Katanya, di daerah ini terdapat lebih 15 penternak dan pembekal lembu untuk ibadah korban, rata-rata mereka berhadapan dengan permintaan lembu yang berkurangan tahun ini.

"Semua urusan saya sediakan secara percuma, lembu yang dibeli akan dihantar secara percuma sehari sebelum Aidiladha.

"Selepas pembeli mengesahkan pembelian dan menanda lembu yang dibeli, lembu yang sakit dan mati akan diganti secara percuma. Setiap tahun persaingan harga lembu berlaku dalam kalangan peniaga haiwan berkenaan," katanya yang juga lulusan Politeknik Jeli, Kelantan.

Berita Harian X