Selasa, 4 Jun 2024 | 10:02am
Sindiket perguna kelompangan undang-undang sembunyikan operasi, hasil kegiatan haram. - Foto hiasan
Sindiket perguna kelompangan undang-undang sembunyikan operasi, hasil kegiatan haram. - Foto hiasan

Penjenayah kewangan licik, ada rangkaian tersendiri

KUALA LUMPUR: Penjenayah kewangan, termasuk pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan dikesan mempunyai rangkaian tersendiri dengan memanipulasikan kelompangan dan kelemahan peraturan serta undang-undang sedia ada di negara ini.

Mereka mudah mengubah taktik setelah mengetahui kelemahan dalam sistem kewangan negara, sekali gus sukar dikesan agensi penguatkuasaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengakui penjenayah kewangan di negara ini sentiasa berevolusi atau bergerak sejajar dengan teknologi sedia ada sehingga usaha menjejaki mereka menjadi lebih kompleks.

Justeru, beliau berkata, jenayah itu kini diibaratkan sebagai virus menular yang sentiasa bermutasi bagi mengelak daripada dimusnahkan.

"Penjenayah wang hari ini sentiasa mengadaptasi dan mengekploitasi kelemahan dalam sistem kewangan negara dan sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

"Kelicikan mereka dapat diperhatikan melalui keupayaan memanipulasikan kelompangan (loophole) dari segi undang-undang mahupun peraturan sedia ada.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

"Mereka juga beroperasi dalam rangkaian yang diwujudkan serta dibantu profesion lain seperti akauntan atau peguam yang menjadikan jenayah seperti ini semakin kompleks atau rumit untuk dikesan serta disiasat," katanya kepada BH.

Difahamkan, antara kelompangan yang boleh dimanipulasi penjenayah wang adalah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penguat kuasa, kelemahan sistem pemeriksaan kastam, judi dalam talian, industri insurans yang tidak dikawal dan tukaran mata wang asing atau hawala.

Penguatkuasaan yang tidak sekata bagi hak harta intelek dan perkhidmatan kewangan luar pesisir, pembuktian pemindahan wang haram, transaksi pindah milik aset dan laporan institusi pelapor sekiranya ada transaksi mencurigakan, turut menyumbang kepada aktiviti haram ini.

Peningkatan sistem perbankan dalam talian juga memudahkan lagi pengubahan wang haram dan menyukarkan pihak berkuasa mengesan aktiviti terbabit.

Lebih membimbangkan, kemajuan semasa termasuk perkembangan teknologi dalam landskap jenayah rasuah, kewangan dan penggubahan wang haram berjaya membuat mereka lebih kental melakukan jenayah itu.

Jenayah berleluasa

Bulan lalu, BH melaporkan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengesan sekurang-kurangnya dua kesalahan utama sering dilakukan institusi kewangan sehingga menyebabkan kegiatan jenayah wang haram dan pembiayaan keganasan semakin terdedah dan berleluasa di negara ini.

Kesalahan itu berkait kegagalan institusi kewangan menjalankan penilaian wajar terhadap pelanggan dan kegagalan menjalankan saringan sekatan pada saat penerimaan pelanggan.

Kedua-dua langkah ini harus dilakukan institusi kewangan yang dinamakan BNM sebagai institusi pelapor supaya penilaian risiko berkaitan aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan tidak berlaku atau mungkin ditimbulkan oleh pelanggan kepada perniagaan atau organisasi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki turut mendedahkan, modus operandi jenayah itu menjadi semakin hebat, selari perkembangan semasa dunia.

Katanya, dalang beroperasi secara sindiket dengan menjana keuntungan hasil pengubahan wang haram, iaitu melalui syarikat berdaftar atas nama proksi untuk menyembunyikan kekayaan mereka.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin turut mengakui, penilaian wajar terhadap pelanggan yang kurang ketat mengakibatkan wujud banyak akaun keldai dan pinjaman kepada pelanggan tidak layak.

SPRM tahun ini juga menjalankan operasi besar-besaran melalui Ops Samba dengan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.

Setakat ini, 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

Mengulas langkah penyelesaian berkesan, Ahmad Khusairi mencadangkan gerakan proaktif diusahakan secara kolektif dengan setiap pihak berkaitan memainkan peranan mengikut kepakaran masing-masing.

"Ancaman seperti ini mustahil dihadapi dan ditangani oleh sebuah agensi sahaja.

"Sebuah kolaborasi dan kerjasama perlu diwujudkan di mana setiap agensi memainkan peranan masing-masing mengikut kepakaran dimiliki dan bidang kuasa ditugaskan, termasuk dari segi perkongsian maklumat perisikan, pandangan dan kaedah atau amalan terbaik," katanya.

Keratan akhbar BH pada 22 Oktober tahun lalu.
Keratan akhbar BH pada 22 Oktober tahun lalu.

Berita Harian X