Isnin, 3 Jun 2024 | 10:00pm
Sebuah jentolak mengalihkan timbunan sampah di kem untuk pelarian dalaman Palestin di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 3 Jun lalu, di tengah-tengah konflik berterusan di antara pejuang Hamas dan Israel. - Foto AFP
Sebuah jentolak mengalihkan timbunan sampah di kem untuk pelarian dalaman Palestin di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza pada 3 Jun lalu, di tengah-tengah konflik berterusan di antara pejuang Hamas dan Israel. - Foto AFP

Malaysia gesa sokong cadangan Biden untuk akhiri konflik Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa pihak-pihak berkaitan untuk menerima dan berusaha ke arah pelaksanaan penuh cadangan terkini oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, untuk menamatkan kekejaman Israel di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata cadangan itu adalah jalan ke hadapan terbaik untuk menamatkan malapetaka yang sedang berlaku di Gaza dan pengunduran penuh tentera Israel dari Wilayah Palestin.

"Malaysia secara konsisten menggesa gencatan senjata yang kekal dan berkesan untuk segera menghentikan pembunuhan rakyat Palestin dan konflik di Gaza.

"Dalam konteks ini, cadangan tiga fasa yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden untuk gencatan senjata sepenuhnya, pembebasan tawanan daripada kedua-dua belah pihak, usaha ke arah pengakhiran kekal permusuhan, dan pelan pembinaan semula menyeluruh untuk Palestin adalah langkah ke arah yang betul," katanya.

Malaysia juga menggesa masyarakat antarabangsa untuk memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan segera dan tanpa halangan kepada rakyat Palestin serta pembinaan semula Gaza.

Ia menekankan bahawa sokongan teguh dan solidariti penuh Malaysia dengan rakyat Palestin tetap tidak berbelah bahagi, termasuk hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Biden pada 31 Mei lepas telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas yang menurutnya akan menamatkan permusuhan di Semenanjung Gaza yang terkepung dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di enklaf pantai itu.

Hamas dilaporkan berkata ia akan "memberi respons positif kepada sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan penuh dari Semenanjung Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan orang yang dipindahkan, dan penyelesaian pertukaran tawanan yang menyeluruh".– BERNAMA

Berita Harian X