Ahad, 2 Jun 2024 | 7:36pm

Wanita hamil anak kembar maut kemalangan bersama suami

GUA MUSANG: "Arwah pernah cakap dekat mak, kalau dia meninggal semasa bersalin macam mana," kata kakak sulung mangsa, Suhaily Khairudin, 49, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, pasangan suami isteri, Ridwan Effendy Yusof, 43, bersama isteri, Suhana Khairudin, 37, yang hamil enam bulan maut di tempat kejadian.

Dua anak pasangan terbabit, Akid Darwisy Ridwan Effendy, 9, dan Qaisara Damia Ridwan Effendy, 15 mengalami luka di bahagian kaki dan mulut.

Menurut Suhaily, dia menerima panggilan mengenai kejadian menimpa arwah daripada adik bongsunya, kira-kira jam 10 pagi.

Katanya, sebelum kejadian dia sempat berbual di telefon dengan arwah yang menyatakan keadaannya selepas keluar hospital.

"Terkejut dengan kejadian yang berlaku, saya bersama ahli keluarga datang ke Hopital Gua Musang dan tiba kira-kira jam 4 petang tadi.

"Saya reda dengan kejadian yang berlaku namun tetap terkejut dengan kejadian yang menimpa adik iaitu anak keempat daripada kami lima beradik," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini.

Menurut Suhaily, arwah bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke Tunjong, Kota Bharu selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, Perak.

Katanya, terdahulu arwah menerima rawatan di hospital Kota Bharu dan dirujuk ke hospital Kuala Lumpur sebelum ke hospital di Ipoh.

"Sebelum ini arwah pernah bagi tahu mak, macam mana kalau dia meninggal semasa bersalin, namun mak cakap Insya-Allah tiada apa-apa dan meninggal semasa bersalin beroleh syahid.

"Arwah sangat teruja untuk melahirkan anak kembarnya selepas anak bongsu berusia sembilan tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata mangsa dan keluarga dipercayai dari arah Ipoh, Perak menuju ke Gua Musang.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh tembok longkang di tepi jalan.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa yang juga anggota tentera tercampak keluar dari kenderaan dan maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Diminta orang ramai diminta menyalur maklumat berkaitan kejadian bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat 012-4027283," katanya.

Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Forensik Hospital Gua Musang. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Forensik Hospital Gua Musang. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya
Berita Harian X