Ahad, 2 Jun 2024 | 7:13pm
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) bersama sebahagian peserta Kejohanan Badminton Junior 'Road to NCT' di Sport Arena Sentosa hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) bersama sebahagian peserta Kejohanan Badminton Junior 'Road to NCT' di Sport Arena Sentosa hari ini. - Foto BERNAMA

5G Dwi Rangkaian: Syarikat telco bersedia ambil pegangan ekuiti DNB

KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (telco) yang terbabit dalam pelaksanaan model 5G dwi rangkaian (Dual Network) bakal memuktamadkan pegangan ekuiti mereka dalam Digital Nasional Bhd (DNB) untuk rangkaian kedua 5G menjelang 21 Jun ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pelaksanaan rangkaian itu dijangka mengambil masa.

"Kabinet khususnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meminta supaya keempat-empat kementerian (Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi memastikan pelaksanaan fasa kedua (5G) yang diputuskan pada Mei lalu berjalan lancar.

"Itulah sebabnya kami mengadakan mesyuarat semalam. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik.

"Hari ini, ada mesyuarat susulan antara DNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan saya lihat rata-rata syarikat telekomunikasi hampir atau sudah bersedia untuk menandatangani atau menyiapkan pengambilan ekuiti dalam DNB.

"Kami menjangkakan ini akan berlaku menjelang 21 Jun ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kejohanan Badminton Junior Road to NCT di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pelaksanaan rangkaian kedua 5G kelak akan bergantung kepada beberapa faktor termasuk pelan perniagaan syarikat telokomunikasi.

"Prosesnya memang akan mengambil masa kerana ada aspek kawal selia, penyediaan dokumen dan proses tender.

"Ia juga berdasarkan siapa yang akan masuk dalam rangkaian kedua, apakah pelan perniagaan mereka dan apakah mereka merancang untuk membina ataupun mengguna pakai menara sedia ada atau menara baharu. Jadi, ada banyak faktor," katanya.

Berita Harian X