Ahad, 2 Jun 2024 | 7:05pm
Pusat Rawatan TH Makkah sedia beri perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji. - Foto NSTP/Husain Jahit
Pusat Rawatan TH Makkah sedia beri perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji. - Foto NSTP/Husain Jahit

Pusat Rawatan TH Makkah dapat permit operasi

MAKKAH: Pusat Rawatan TH Makkah sudah mendapat kelulusan untuk beroperasi sepenuhnya secara rasmi daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada 12 Mei lalu.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata ia menjadikan Malaysia antara negara terawal mendapat permit operasi pusat rawatan di Makkah.

"Perkhidmatan kesihatan di Pusat Rawatan TH Makkah meliputi rawatan kecemasan, rawatan pesakit harian dan perkhidmatan kepakaran termasuk kepakaran perubatan am, perubatan keluarga, anestesiologi atau bius, psikiatri dan kesihatan awam," katanya ketika membuat pengumuman itu di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkhidmatan sokongan lain yang turut disediakan di pusat rawatan TH Makkah ialah perkhidmatan pergigian, panggilan ambulans, makmal perubatan, pengimejan dan diagnostik, fisioterapi, khidmat pemakanan diet pesakit, pemantauan kawalan penyakit, serta pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.

Menurut Syed Saleh, kelulusan permit ini diberikan selepas melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Ini juga pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah Malaysia.

Sebelum ini, Pusat Rawatan TH di Madinah dan perkhidmatan ambulans menjadi yang pertama mendapat permit operasi untuk menjadikan Pusat Rawatan TH sekali gus menjadikannya antara yang paling lengkap.

Pusat rawatan ini memiliki 278 Petugas Kesihatan yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan jabatan untuk memenuhi keperluan rawatan.

Untuk memperoleh permit operasi, pusat rawatan ini perlu melalui pelbagai tapisan yang ketat dan pemeriksaan berkala serta lawatan mengejut dari pihak Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Berita Harian X