Sabtu, 1 Jun 2024 | 7:19pm
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto NSTP
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto NSTP

Hanya 25 Ahli Parlimen BERSATU ikrar terus setia kepada parti

KUALA LUMPUR: Hanya 25 Ahli Parlimen BERSATU daripada keseluruhan 31 menyempurnakan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk ikrar terus setia kepada parti, selepas tarikh tamatnya, semalam.

Namun, status enam ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini, tidak dimaklumkan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata turut menandatangani surat berkenaan ialah 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

"Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kerana semua wakil rakyat BERSATU yang kekal teguh menjunjung obor perjuangan suci parti ini berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela agama, bangsa dan negara.

"Tarikh 31 Mei adalah hari terakhir untuk wakil rakyat BERSATU menyempurnakan surat Arahan Khusus Majlis Pimpinan Tertinggi.

"Seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN menandatangani surat berkenaan dan menghantarnya kembali kepada Setiausaha Agung BERSATU dalam tempoh 14 hari," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, BERSATU mempunyai 31 Ahli Parlimen dan 60 ADUN, namun enam daripada Ahli Parlimen itu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala seorang ADUN menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN yang menyatakan sokongan kepada Amirudin ialah dari Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. Selain menjadi Ahli Parlimen, Mohd Azizi juga seorang ADUN di kawasan Nenggiri.

Sebelum ini, BERSATU dilapor memberi tempoh 14 hari kepada ADUN dan Ahli Parlimen parti itu untuk membalas dan menandatangani Surat Arahan MPT bermula 17 Mei dan berakhir semalam.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dilaporkan berkata kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam parti terhenti dengan serta-merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU iaitu berkaitan hal pemberhentian dan pemecatan ahli.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, arahan khusus MPT ini dibuat selaras dengan pindaan Perlembagaan BERSATU yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini serta menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai antilompat parti.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas BERSATU yang bertungkus-lumus menyempurnakan Arahan Khusus MPT ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang.

"Adalah diperingatkan bahawa mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan BERSATU, ketidakpatuhan wakil rakyat BERSATU terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti BERSATU secara serta-merta," katanya.

Berita Harian X