Sabtu, 1 Jun 2024 | 11:20am

Kes bunuh Zayn Rayyan: Siasatan semula di lokasi temui mayat, rumah keluarga jika perlu - Polis

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan dan langkah untuk menjalankan siasatan semula di lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, serta rumah keluarganya di Damansara Damai, di sini, akan bergantung pada keperluan siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika menjelaskan perkara itu berkata buat masa ini, pihaknya memerlukan keterangan kedua-dua ibu bapa mangsa sebelum polis mengambil tindakan lanjut.

"Perkara itu bergantung kepada hasil soal siasat nanti," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, ibu bapa kanak-kanak autisme itu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan.

Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu, Mahmud Abdul Jumaat.

Sebelum itu, Hussein mengesahkan siasatan ke atas ibu bapa kanak-kanak autisme berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh.

Beliau berkata, penangkapan pasangan suami isteri itu adalah berdasarkan hasil maklumat risikan dan siasatan dari hari pertama kejadian.

Difahamkan, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) masing-masing berumur 28 tahun itu ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selama tempoh reman berjalan.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Apartment Idaman pada keesokan hari.

Berita Harian X