Sabtu, 1 Jun 2024 | 10:47am
(Gambar fail) Mendiang Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra
(Gambar fail) Mendiang Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra

Ketua Staf Bahagian Operasi Darat ESSCOM meninggal dunia

KOTA KINABALU: Ketua Staf Bahagian Operasi Darat, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Senior Asisten Komisioner Datuk M Chandra, meninggal dunia, hari ini.

Difahamkan, Chandra, 56, ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Kingfisher, Likas, kira-kira jam 7 pagi tadi sebelum dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Likas, dengan menggunakan ambulans untuk rawatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan bahawa mayat mendiang kini berada di Hospital Likas untuk proses bedah siasat.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat memberikan masa kematian sebenar kerana saya masih menerima mesej terakhir daripadanya pada jam 5.18 pagi tadi. Pihak Hospital Likas hanya memaklumkan mendiang sudah meninggal dunia jam 8.45 pagi.

"Punca kematian juga belum dapat dipastikan. Mayat mendiang sedang berada di hospital untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Jauteh berkata, mayat mendiang dijangka dibawa ke Wisma Fook Lu Siew, di sini, untuk upacara memperingati dan penghormatan terakhir sebaik saja proses bedah siasat selesai nanti.

Mendiang mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1994 dan pernah memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu dari 2014 hingga 2018.

Berita Harian X