Jumaat, 31 Mei 2024 | 11:13pm
Sememangnya tidak menyangka mereka dipilih bersama-sama malah bersyukur diberikan peluang mengerjakan ibadah secara bersama di Tanah Suci nanti.
Sememangnya tidak menyangka mereka dipilih bersama-sama malah bersyukur diberikan peluang mengerjakan ibadah secara bersama di Tanah Suci nanti.

Kenangan terindah 3 sepupu dari Sabah terpilih bersama jadi 'duyufurrahman'

KOTA KINABALU: Terpilih antara rombongan pertama negeri Sabah menunaikan haji pada tahun ini menjadi kenangan terindah buat tiga orang sepupu warga emas yang dijemput bersama-sama menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) pada musim hari tahun ini.

Lamnih Awang Raya, 68, Ratinah Suara, 72, dan Jerani A Raya, 72, sememangnya tidak menyangka mereka dipilih bersama-sama malah bersyukur diberikan peluang mengerjakan ibadah secara bersama di Tanah Suci nanti.

Berasal dari Kampung Petagas, Lamnih yang merupakan ibu kepada tujuh anak itu berkata dia menyimpan dan mendaftar di Tabung Haji sejak 2009 sebelum diberitahu mendapat panggilan ke Makkah tahun ini.

"Mak cik bersyukur walaupun tidak pernah tunaikan umrah, sudah rezeki dapat naik haji tahun ini," katanya kepada Bernama pada majlis meraikan jemaah haji Sabah, dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin serta isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Pusat Konvesnyen Antarabangsa Sabah di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Seramai 134 bakal jemaah haji Sabah akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu malam ini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum bertolak ke Tanah Suci awal pagi esok.

Sementara itu, Ratinah berkata dia tidak menyangka penantian untuk menunaikan haji sejak usia mudanya akhirnya tercapai bagi mengerjakan Rukun Islam kelima itu dan berharap agar semuanya dipermudahkan sepanjang perjalanan mereka nanti.

"Kami bertiga sepupu sekali dapat ke Makkah, ada juga kawan ketika di sana nanti untuk beribadah dan melakukan apa yang diperlukan di sana nanti," katanya yang kelihatan tenang mendengar taklimat Tabung Haji.

Mohd Haziq Wazini Saidil.
Mohd Haziq Wazini Saidil.

Mohd Haziq Wazini Saidil, 26, dari Membakut pula bersyukur kerana berpeluang menunaikan haji pada usia muda dan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Anak kedua dari tiga beradik itu berkata kedua-dua orang tuanya telah mendaftarkan mereka adik-beradik sejak 2009 sebelum menerima khabar gembira itu baru-baru ini.

"Sepatutnya kami tiga beradik terpilih untuk menunaikan haji tetapi disebabkan adik masih belajar dan kakak pula baharu sahaja berjaya mendapat pekerjaan, mereka tangguh dan saya seorang saja yang pergi (haji)," katanya

Berita Harian X