Jumaat, 31 Mei 2024 | 5:51pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua,kanan) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diiringi Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang (kanan) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dihoskan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing di Rumah Tamu Negara Diaoyutai, hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua,kanan) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah diiringi Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang (kanan) pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dihoskan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing di Rumah Tamu Negara Diaoyutai, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia, China sambut ulang tahun lima dekad hubungan diplomatik

BEIJING: Hubungan diplomatik Malaysia-China terus diperkukuh selepas lima dekad Kenyataan Bersama dimeterai Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan bekas Perdana Menteri China, mendiang Chou En-lai.

Kedua-dua negara tekad meningkatkan hubungan bilateral, bukan hanya terhad antara kerajaan kepada kerajaan (G2G) atau perniagaan ke perniagaan (B2B), sebaliknya turut membabit rakyat dengan rakyat (P2P).

Malaysia dan China juga menyuarakan hasrat membuka lembaran baharu untuk hubungan diplomatik dengan memperkasa jalinan kerjasama strategik yang komprehensif merangkumi pelbagai aspek bagi membentuk komuniti berkongsi masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelbagai pencapaian penting dan signifikan berjaya diraih sejak hubungan diplomatik Malaysia-China terjalin, pada 1974.

Beliau berkata, antaranya ia membabitkan penetapan hubungan politik dan diplomatik yang kukuh hingga meningkatkan kerjasama dalam aspek ekonomi dan perdagangan.

"Hubungan bilateral Malaysia-China melangkaui politik serta ekonomi, sebaliknya turut diperluas kepada sektor pendidikan, budaya, pelancongan dan perkongsian P2P.

"Usaha ini memperkukuhkan lagi kerjasama rakyat kedua-dua negara. Namun, terdapat banyak lagi potensi kerjasama yang boleh diteroka kedua-dua pihak bagi merancakkan lagi hubungan dua hala.

"Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan pada Januari 2023 juga berkongsi nilai sama dengan dasar 'Common Shared Future' (CSF) dicadangkan Presiden China, Xi Jinping pada 2013.

"Kedua-dua konsep berkenaan menyokong dan mempromosikan inovasi, sikap saling menjaga dan belas kasihan, selain turut mengetengahkan persefahaman sejagat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri China, Ding Xuexiang dan Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melakukan kunjungan hormat kepada Xuexiang dengan ia adalah pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China.

Pada penghujung musim bunga 1974, bendera kebangsaan China dan Malaysia berkibar di sepanjang jalan utama di Beijing, selepas Kenyataan Bersama dimeterai Abdul Razak dan En-lai.

Selain itu, slogan "Persahabatan China-Malaysia kekal abadi!" turut digantung di bangunan tinggi di ibu negara China itu.

Ketika itu, pemimpin ulung China, Mao Zedong dan En-lai masing-masing bertemu Abdul Razak yang sedang mengadakan lawatan ke Beijing.

En-lai menyampaikan perasaannya dengan penuh ikhlas, "Sudah lama saya menanti-nantikan kedatangan Tun ke Beijing, hari ini Tun akhirnya datang!" Tanggal 31 Mei 1974 sudah terpahat dalam sejarah.

Sementara itu, Xuexiang berkata, Malaysia-China perlu terus bekerjasama dan saling mempercayai, sekali gus menjadikan usaha memperkasa hubungan kedua-dua negara sebagai keutamaan bagi dasar luar negara masing-masing.

Beliau berkata, China juga bersedia memperluaskan pasaran import bagi produk berkualiti dari Malaysia, selain menyokong cadangan memperkasa kerjasama terbuka dan menjamin kestabilan rantaian industri serta bekalan.

Katanya, China juga sentiasa menggalakkan kerjasama strategik, selain meningkatkan tindakan penyelarasan berteraskan prinsip keamanan, menentang hagemoni serta politik kuasa, selain mengiktiraf kepentingan sah dan wajar bagi negara membangun.

"Kedua-dua negara perlu sentiasa menjadi rakan kerjasama pelbagai hala serta mengetengahkan dasar CSF, selain China akan menyokong Malaysia sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN, tahun depan.

"Kita juga bersetuju untuk bersama Malaysia mengekalkan kedudukan ASEAN dalam rangka kerja serantau, selain mencipta Asia yang lebih damai, stabil, makmur serta mesra," katanya.

Berita Harian X