Jumaat, 31 Mei 2024 | 4:26pm
Foto hiasan
Foto hiasan

CAKE syor kaji semula undang-undang kekang penyeludupan minyak

KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar mengkaji semula undang-undang atau kaedah mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel sekiranya pengapungan harga bahan api dilaksanakan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata penyeludupan itu masih akan berlaku kerana apabila harga minyak diapungkan di peringkat nasional, negara masih lagi berdepan dengan harga bahan api yang tinggi.

"Kerajaan perlu meneliti semula bahawa penyeludupan petrol dan diesel akan berlaku dalam pelbagai cara iaitu bukan sahaja warga asing yang datang mengisi minyak ke negara ini, namun ada juga warganegara kita sendiri yang menjual kepada pihak lain.

"Adalah tidak adil sekiranya kerajaan meletakkan beban ketirisan di atas bahu rakyat. Banyak lagi barangan subsidi yang mengalami ketirisan bukan sahaja bahan api, malah berlaku juga kepada minyak masak, gula dan sebagainya," katanya kepada BH.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata gelombang ketirisan yang menyebabkan subsidi diesel negara melonjak 10 kali ganda kepada RM14.3 bilion pada tahun lalu, berbanding hanya RM1.4 bilion pada 2019, menyebabkan kerajaan perlu bertindak menyusun semula supaya ia lebih bersasar.

Beliau berkata, langkah strategik penyusunan semula subsidi diesel dengan menjadikannya lebih bersasar menerusi Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) diambil bagi menangani masalah itu.

Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata kerajaan perlu meningkatkan integriti penguatkuasaan di pintu-pintu sempadan negara.

Katanya, kawasan-kawasan berkenaan dipercayai banyak berlaku ketirisan, bagaimanapun perkara berkenaan kurang berlaku di kawasan selatan iaitu di sempadan Malaysia - Singapura.

"Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak antara kawasan yang banyak berlaku pelbagai ketirisan, jadi perlu dipertingkatkan ketegasan penguatkuasaan di pintu-pintu sempadan di kawasan berkenaan.

"Mungkin banyak berlaku penyelewengan yang dilakukan oleh pihak penguat kuasa atau berlaku masalah rasuah di kawasan terbabit," katanya.

Katanya, kerajaan perlu mengatasi masalah itu terlebih dahulu supaya rakyat masih boleh menikmati subsidi bahan api berkenaan.

"Kita bimbang selepas daripada subsidi berkenaan dilaksanakan, petrol pula juga akan dirasionalisasikan. Apabila perkara berkenaan berlaku saya percaya harga bahan api akan turut meningkat.

"Walaupun kerajaan memberikan Fleet Card dibawah BUDI MADANI kita rasakan mungkin ini tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh dan rakyat terpaksa menanggung harga minyak yang mahal," katanya.

Mohd Yusrizal berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi yang layak akan menerima BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Tetapi bagaimana pula pada mereka yang tidak layak mendapat Fleet card berkenaan? Adakah mereka dapat menampung keperluan subsidi yang sebelum ini pernah mereka nikmati?

"Sebelum ini pun harga diesel lebih menjimatkan berbanding harga petrol. Namun, pada hari ini harga diesel lebih mahal daripada petrol," katanya.

Katanya, adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak atau penguat kuasa yang didapati terbabit dalam ketirisan dalam negara.

Berita Harian X