Jumaat, 31 Mei 2024 | 12:21pm
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai /Ihsan DPMO
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai /Ihsan DPMO

China setuju lanjut pengecualian visa buat pelancong Malaysia - Ahmad Zahid

BEIJING: China bersetuju untuk melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong Malaysia dari 15 ke 30 hari, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, persetujuan itu dicapai ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri China, Li Qiang, kelmarin.

"Saya ingin mengumumkan kedua-dua negara bersetuju (melanjutkan tempoh pengecualian visa pelancong kepada 30 hari).

"Pelaksanaan akan dibuat selepas perjanjian mengenai perkara ini ditandatangani ketika kunjungan Qiang ke Malaysia bulan hadapan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang dan Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Mohamad Alamin.

Pada November 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember tahun sama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilapor berkata, pengecualian itu bagaimanapun tertakluk kepada tapisan keselamatan bagi semua pelancong dari negara berkenaan yang berhasrat memasuki Malaysia.

Ketika ini negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Iraq dan Iran serta semua negara Asia Barat, termasuk Turkiye dan Jordan menikmati kemudahan sama.

Kemudahan kemasukan ke Malaysia tanpa visa turut dinikmati lapan negara ASEAN lain yang membenarkan lawatan sehingga 30 hari bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, Ahmad Zahid menyifatkan persetujuan bagi pelanjutan tempoh pengecualian visa pelancong dari Malaysia itu sebagai pengiktirafan terhadap kemudahan diberikan kepada pelancong China ke Kuala Lumpur.

"Saya bangkitkan perihal ini dalam pertemuan bersama Qiang kelmarin, dan ia telah mendapat persetujuan daripada Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong.

"Kelulusan mengenai pelanjutan ini sudahpun diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Wisma Putra.

"Pelaksanaannya pula akan dikuatkuasakan sebaik dokumen ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Xiaohong pada minggu pertama Jun ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia akan membincangkan pemanjangan tempoh pengecualian visa pelancong yang dijadualkan tamat akhir tahun ini bersama Qiang ketika lawatan rasminya ke Kuala Lumpur, pertengahan Jun ini.

"Beberapa negara ASEAN lain sudah melaksanakan dasar pengecualian visa bagi suatu tempoh yang panjang dan pada hemat saya perkara ini akan dibincangkan Qiang mengunjungi Malaysia pertengahan bulan depan," katanya.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China hari ini, beliau berharap jalinan kerjasama kedua-dua negara kekal dan semakin erat untuk tempoh lima dekad akan datang.

"Namun, yang lebih penting adalah keakraban kita antara dua negara ini yang telah bersahabat sejak abad ke-13, ke-15 dan hingga kini. Mudah-mudahan hubungan ini akan diterjemahkan sebaik-baiknya oleh rakyat kedua-dua negara," katanya.

Berita Harian X