Jumaat, 31 Mei 2024 | 12:05pm
Sebahagian daripada kesan penerokaan hutan untuk tujuan perladangan di Gua Musang
Sebahagian daripada kesan penerokaan hutan untuk tujuan perladangan di Gua Musang

'Penerokaan hutan skala besar punca gangguan hidupan liar terhadap penduduk'

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli beberapa pos penempatan sekitar daerah ini mendakwa penerokaan tanah hutan simpan untuk pembalakan dan pertanian skala besar menjadi punca gangguan gajah liar di kawasan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa gangguan haiwan liar itu tidak hanya memusnahkan tanaman yang diusahakan tetapi juga turut memasuki kawasan perkampungan hingga boleh membahayakan keselamatan.

Penduduk Kampung Tendrik Pos Bihai, Adi Along, 78, mendakwa gangguan gajah liar semakin menjadi-jadi di perkampungan itu sejak dua tahun lalu.

Katanya, sebelum ini mereka juga pernah berhadapan dengan gangguan harimau belang yang berkeliaran di kawasan kampung itu sehingga penduduk takut keluar malam.

"Saya tinggal dan lahir di kampung ini, sebelum ini sangat sukar untuk bertemu dengan haiwan liar, apatah lagi masuk ke kampung kami.

"Namun sejak dua tahun kebelakangan ini keadaan sudah berubah dan penduduk hidup dalam kebimbangan apabila haiwan liar seperti gajah, harimau dan kera liar masuk ke kawasan kampung dan merosakkan tanaman penduduk.

"Saya percaya keadaan berubah dan berlaku kerana berlaku aktiviti pembalakan dan perlombongan berhampiran penempatan kami sehingga haiwan liar tiada tempat untuk mencari makanan," katanya hari ini.

Ketua Tanah Wilayah Adat Pos Simpor, Dendi Johari, 36, berharap kerajaan negeri dan Pusat dapat memberi perhatian yang serius tentang masalah gangguan haiwan liar yang berpunca daripada aktiviti pembukaan hutan yang tidak terkawal.

Katanya, perlu ada kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang lebih telus dalam kelulusan penerokaan hutan untuk aktiviti pembalakan, perlombongan dan pertanian.

"Kesan pembalakan dan pembukaan ladang komersil dengan kaedah 'cuci mangkuk' (tebang habis) di hutan simpan menyebabkan haiwan liar tiada habitat dan berlaku serangan gajah terhadap tanaman penduduk Orang Asli.

"Kami masyarakat Orang Asli di sini, berharap kerajaan negeri dan Pusat memberi perhatian serius kepada perkara ini, pembangunan yang tidak seimbang di mana pembukaan ladang berhektar-hektar dengan kajian EIA tidak telus.

"Apa yang kami perhatikan pembukaan tanah di hutan simpan di sini semakin berleluasa tanpa kawalan," katanya.

Penduduk Orang Asli di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Adi Along, 32, mendakwa pembukaan kebun sayur dan penerokaan tanah untuk aktiviti ladang durian berhampiran kampung itu, gajah liar semakin kerap menceroboh perkampungan itu.

"Kawasan pembukaan tanah untuk ladang durian Musang King hanya terletak di belakang kampung kami. Selain gangguan haiwan liar yang masuk ke kampung, kami juga risau dengan nasib dan masa depan anak-anak kami.

"Kemana mereka nak tinggal bila sudah berkeluarga kerana kawasan kampung semakin mengecil apabila hutan di sekeliling kampung sudah ditebang untuk pembukaan kebun sayur dan kebun Musang King," katanya.

Berita Harian X