Jumaat, 31 Mei 2024 | 7:50am
Subsidi diesel kini disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah, iaitu kaedah pertama membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). - Foto hiasan NSTP
Subsidi diesel kini disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah, iaitu kaedah pertama membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). - Foto hiasan NSTP

Persepsi kerajaan mansuh subsidi diesel tak tepat - Armizan

PUTRAJAYA: Persepsi bahawa kerajaan memutuskan untuk memansuhkan subsidi diesel adalah tidak tepat, sebaliknya subsidi itu disasarkan semula bagi menangani isu ketirisan subsidi rakyat yang berlaku sekian lama apabila pendekatan subsidi pukal diguna pakai, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

Beliau berkata, subsidi diesel kini disalurkan secara bersasar melalui dua kaedah, iaitu kaedah pertama membabitkan subsidi harga runcit di stesen minyak kepada 33 jenis pengangkutan awam dan barangan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Kaedah kedua pula menerusi subsidi bantuan tunai RM200 kepada isi rumah yang menggunakan kenderaan diesel bagi kategori individu atau agrikomoditi melalui Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI).

"Saya ingin ulangi dan betulkan persepsi yang sebut bahawa kerajaan nak hapuskan subsidi diesel… kita (kerajaan) tidak mansuhkan, tetapi disasarkan melalui dua kaedah ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0, semalam.

Armizan ketika sidang media Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Putrajaya semalam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Armizan ketika sidang media Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Putrajaya semalam. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan Isnin lepas berkata program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel, melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Program BUDI MADANI dikhususkan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung manakala SKDS melibatkan 23 jenis pengangkutan barangan yang bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel.

Mengenai mekanisme penyasaran subsidi diesel secara bersasar, Armizan berkata perkara itu di bawah bidang kuasa MOF dan akan diumumkan kementerian itu apabila tiba masanya kelak.

Ia termasuk mengenai kaedah penetapan harga bahan bakar sama ada diapungkan atau menggunakan mekanisme lain.

"Perkara ini akan diumumkan apabila tiba masanya oleh MOF kerana tanggungjawab kita di KPDN adalah untuk mengawal selia SKDS.

Tiada lagi subsidi pukal

"Perdana menteri pun sudah memaklumkan kita akan melaksanakan penyasaran ini, tidak ada lagi subsidi secara pukal sebaliknya diberikan secara bersasar, jadi dari segi harga dan bila, Insya-Allah akan diumumkan kelak oleh Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan)," katanya.

Armizan berkata demikian sebagai mengulas bentuk kawalan harga bahan bakar itu sama ada akan diapungkan atau kemungkinan pengenalan mekanisme selepas pelaksanaan subsidi secara bersasar kelak.

Pada 27 Mei lepas, Anwar berkata MOF akan mengumumkan semua perincian termasuk berkaitan mekanisme penyelarasan subsidi diesel secara bersasar dalam masa terdekat.

Mengenai harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan, Armizan berkata, harga bahan bakar itu kekal di tiga lokasi berkenaan selepas subsidi secara bersasar dilaksanakan di Semenanjung kelak.

"Sabah, Sarawak dan Labuan dikecualikan daripada inisiatif ini kerana kerajaan mahu membuat perancangan dengan rapi serta teratur dan mengurangkan rakyat yang terkesan. Kebergantungan isi rumah di Sabah, Sarawak dan Labuan cukup tinggi terhadap penggunaan diesel kerana faktor geografi di sana," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X