Khamis, 30 Mei 2024 | 9:04pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/ AZIAH AZMEE
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/ AZIAH AZMEE

GMTI 2024: Malaysia kekal ungguli senarai Destinasi Mesra Muslim Terbaik

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal mengungguli senarai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024.

Lebih membanggakan, pada Halal in Travel Awards yang berlangsung di Singapura, hari ini, Malaysia turut dinobatkan sebagai 'Destinasi Mesra Muslim Terbaik' Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk tahun kedua berturut-turut.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Nizran Noordin, berkata negara ini telah menduduki tangga teratas sejak GMTI diperkenalkan pada 2015.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memperjuangkan pelancongan serta hospitaliti mesra Muslim (MFTH) pada skala tempatan dan global.

"Pengiktirafan ini adalah bukti dedikasi pengamal industri dan pihak berkepentingan dalam memperjuangkan sektor MFTH.

"Ia menggariskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap MFTH dengan disokong oleh penyelidikan, latihan serta pembangunan piawaian ITC dalam sektor ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pasaran Muslim global memberi peluang yang luas, dengan populasi lebih 1.9 bilion individu.

"Angka prapandemik yang dilaporkan Mastercard dan CrescentRating mempamerkan pertumbuhan ketara dalam pasaran pelancongan Muslim, iaitu daripada 108 juta pada 2013 kepada 160 juta pada 2019.

"Dengan pembukaan semula sempadan di seluruh dunia, GMTI menjangka terdapat seramai 230 juta pengembara Muslim menjelang 2028," katanya.

Nizran berkata, populariti Malaysia dalam kalangan pelancong Muslim antara lain didorong kebolehcapaian kepada makanan halal, kemudahan serta perkhidmatan berkaitan agama, pantai indah, budaya yang pelbagai, dan pengalaman membeli-belah yang luar biasa.

"Ia juga menawarkan pelbagai pakej pelancongan mesra Muslim, selain membolehkan pelancong merasai kekayaan sejarah negara, seni bina masjid, warisan, gastronomi, alam semula jadi, serta seni dan budaya.

"Sebagai negara majoriti Islam, Malaysia memanfaatkan infrastruktur sedia ada, termasuk surau, pilihan makanan halal dan tandas mesra air.

"Melalui ITC, Malaysia sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pengembara Islam dalam menunaikan kewajipan agama ketika dalam perjalanan," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ITC menyediakan latihan dan pembinaan kapasiti, penyelidikan, serta pembangunan piawaian dan pensijilan.

Berita Harian X