Khamis, 30 Mei 2024 | 6:09pm
Presiden PENGASIH, Hafizi Harun (kiri) bersalam dengan wakil Universitas Negeri Padang, Prof Datuk Dr Firman selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan dan latihan, rawatan pemulihan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di Rumah PENGASIH di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Sadiq Sani
Presiden PENGASIH, Hafizi Harun (kiri) bersalam dengan wakil Universitas Negeri Padang, Prof Datuk Dr Firman selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pendidikan dan latihan, rawatan pemulihan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di Rumah PENGASIH di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Sadiq Sani

Universiti Indonesia berminat teroka modul PENGASIH rawat penagih

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universitas Negeri Padang (UNP), Sumatera dalam usaha mewujudkan modul rawatan pemulihan dan pencegahan penyalahgunaan dadah di institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Penasihat PENGASIH, Prof Datuk Dr Abdul Halim, berkata MoU itu bertujuan memberi latihan kepada tenaga pengajar UNP berkaitan modul PENGASIH untuk merawat serta mencegah penyalahgunaan dadah.

"Kami dimaklumkan tiada subjek pengkhususan rawatan dan pencegahan penyalahgunaan dadah dalam mana-mana bidang kaunseling pengajian tinggi di Indonesia.

"Di Malaysia, subjek pengkhususan boleh didapati dalam bidang kaunseling di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Kami akan menunjuk ajar pensyarah mahupun pelajar UNP berkaitan modul digunakan PENGASIH untuk memulih, merawat mahupun mencegah penyalahgunaan dadah," katanya ketika ditemui di ibu pejabat PENGASIH, di sini.

Yang Dipertua PENGASIH, Hafizi Harun, berkata jalinan kerjasama dengan UNP membuka peluang kepada penghasilan kajian baharu berkaitan keberkesanan modul PENGASIH dalam merawat penagih dadah.

"Kajian Universiti Utara Malaysia mendapati 60 peratus penagih dadah yang mendapat rawatan di PENGASIH berjaya menjalani kehidupan normal.

"Namun kajian dilakukan 10 tahun lalu. Kami berharap kerjasama dengan pihak UNP mampu melaksanakan kajian terkini bagi menunjukkan keberkesanan modul perawatan PENGASIH," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Pengajian Sarjana dan Kedoktoran Bimbingan Kaunseling Universitas Negeri Padang (UNP), Prof Dr Firman M S Kons, berkata PENGASIH mempunyai keunikan tersendiri dalam mengendalikan penagih dadah tanpa melaksanakan hukuman ke atas mereka.

"Kami memilih PENGASIH untuk menjalinkan kerjasama kerana kaedah rawatannya lebih berperikemanusiaan tanpa membabitkan sebarang hukuman.

"Kami juga yakin dengan pengalaman PENGASIH dalam merawat ramai penagih dadah serta boleh dijadikan inspirasi bagi mewujudkan modul rawatan dan pencegahan penyalahgunaan dadah tersendiri dalam bidang kaunseling di peringkat pengajian tinggi di Indonesia," katanya.

Berita Harian X