Khamis, 30 Mei 2024 | 5:25pm
Foto fail
Foto fail

MPOGCF cadang kaedah in situ, laksana diplomasi orang utan

KUALA LUMPUR: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) mencadangkan kaedah in situ bagi melaksanakan diplomasi orang utan dalam usaha memulihara spesies hidupan liar berkenaan.

Pemuliharaan in situ adalah kaedah mengekalkan spesies di habitat asal seperti taman negara, hutan simpan kekal dan taman laut.

Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, berkata inisiatif baharu itu dirancang dilaksanakan di kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV) di dalam ladang kelapa sawit di Sabah dan Sarawak.

Katanya, terdapat ladang sawit yang mempunyai kawasan HCV seluas 2,500 hektar dan mempunyai populasi orang utan liar yang dianggarkan lebih 50 ekor.

"Perbincangan lanjut bersama syarikat berkenaan untuk mengusulkan cadangan pelaksanaan diplomasi orang utan ini akan dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hairulazim berkata, MPOGCF merancang melaksanakan inisiatif berkenaan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dan Jabatan Perhutanan Sabah (SFD).

Katanya, konsep diplomasi orang utan dicetuskan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pada majlis perasmian Biodiversity Forum 2024 anjuran MPOGCF di Resorts World Awana, Genting Highlands pada baru-baru ini.

"Orang utan yang hanya ditemukan di kawasan hutan hujan Sabah dan Sarawak serta Indonesia diklasifikasikan sebagai spesies yang amat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN).

"MPOGCF berhasrat bekerjasama dengan semua pihak yang berminat untuk melaksanakan inisiatif pemuliharaan orang utan di dalam kawasan HCV melalui proses pembiakan semula jadi," katanya.

Katanya, melalui program itu, populasi orang utan liar akan dapat ditingkatkan sekali gus sebagai testimoni syarikat perladangan sawit dalam usaha berterusan memulihara spesies orang utan di Malaysia.

"Sebagai contoh, pembeli minyak sawit akan menyumbang sebanyak RM100,000 bagi setiap orang utan bagi menjadikan pihak berkenaan sebagai 'penjaga' mereka.

"Ia sekali gus menyokong industri sawit secara langsung dalam komitmen mereka untuk memantau dan memulihara orang utan serta habitatnya di dalam dan persekitaran kawasan ladang syarikat berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Hairulazim berkata, dana yang diperoleh dari sumbangan berkenaan akan disalurkan menampung kos seperti penubuhan unit renjer khas untuk memantau dan memulihara populasi orang utan di dalam kawasan HCV.

"Selain itu, langkah-langkah akan diambil untuk memperkayakan biodiversiti di dalam kawasan HCV bagi memastikan terdapat sumber yang banyak untuk menjaga kesejahteraan orang utan," katanya.

Berita Harian X