Khamis, 30 Mei 2024 | 3:19pm
(Dari kanan) Ahli Panel, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hazami Jahari, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Sakri Abdullah pada sesi Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan 2024 di di PBAKL 2024. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
(Dari kanan) Ahli Panel, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hazami Jahari, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Sakri Abdullah pada sesi Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan 2024 di di PBAKL 2024. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Calon tidak layak dapat sijil dinasihat ulang SPM Ogos ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan pelajar yang tidak layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 supaya menduduki semula peperiksaan itu, Ogos depan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata kementerian menggunakan pelbagai mekanisme termasuk memberi kefahaman bahawa masih ada ruang untuk pelajar berkenaan memperbaiki keputusan sedia ada, seterusnya lulus mata pelajaran wajib iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu.

"KPM mengambil pelbagai langkah untuk bantu mempermudahkan (pelajar), terutama supaya mereka faham ada peluang dan ruang diberikan untuk mereka mengambil semula peperiksaan.

"Dalam konteks ini untuk membaiki subjek yang mendapat keputusan kurang baik pada bila-bila masa. Proses (melalui Peperiksaan SPM Ulangan) sudah lama berlaku. Bila tak layak dapat sijil, maknanya disebabkan tidak lulus mata pelajaran teras sama ada Bahasa Melayu atau Sejarah, masih ada ruang untuk duduki semula peperiksaan. Peperiksaan ulangan ini akan dibuat pada Ogos, jadi ambillah peluang ini," katanya kepada media selepas melawat program VIP Buyer@PBAKL yang berlangsung di Bilik Cempaka, Aras Lima,Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pengelola PBAKL 2024, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar.

KPM ketika mengumumkan keputusan SPM baru-baru ini, memaklumkan kira-kira 24,000 calon atau 6.5 peratus tidak layak menerima sijil atau gagal melepasi penguasaan minimum.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPM ada pelbagai cara untuk mendekati kelompok pelajar terbabit walaupun mereka sudah menamatkan pengajian di peringkat menengah.

"Kita buat pelbagai cara, antaranya melalui hebahan dan promosi (berterusan) walaupun mereka telah keluar daripada sistem persekolahan. Hebahan dibuat oleh KPM dan juga pihak sekolah sendiri. Pihak sekolah boleh buat hebahan misalnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dapat sampaikan maklumat kepada penjaga mereka.

"Selain itu, maklumat sama turut disampaikan biasanya kepada murid di sekolah, kita mengharapkan maklumat ini sampai kepada mereka (pelajar lepasan SPM), mungkin melalui adik mereka yang berada di sekolah rendah atau menengah," katanya.

Mengenai program VIP Buyer@PBAKL yang dikendalikan Perbadanan Kota Buku (PKB), Azman berkata, ia memudahkan urusan pentadbir di sekolah terutama guru perpustakaan untuk melakukan urusan pembelian buku secara digital.

"Program ini dibuat bagi mudahkan urusan pembelian buku di kalangan sekolah di seluruh negara dengan pendekatan pembelian buku melalui sistem dalam talian dibangunkan PKB.

"Jadi, di PBAKL ini, guru yang datang daripada pelbagai negeri boleh lihat buku yang dijual, yang mana sesuai untuk koleksi perpustakaan mereka boleh dibeli bagi kegunaan sekolah," katanya.

Tambahnya, melalui sistem itu, perolehan buku secara pukal dapat dibuat dengan lebih cepat dengan tempahan akan terus dihantar ke sekolah termasuk di sekolah di Sabah dan Sarawak.

Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kemaman, Norzilawati Mansor, beliau sanggup hadir dari Terengganu ke PBAKL 2024 kerana ingin melihat sendiri buku yang dipamerkan di VIP Buyer@PBAKL.

"Di perpustakaan sekolah kami ada ruang khas aeroangkasa, jadi kehadiran saya hari ini adalah untuk mencari buku berkaitan sains dan teknologi. Ini antara buku pilihan yang memang digemari pelajar.

"Prosesnya pun mudah tanpa banyak kerenah, cuma pilih dan kemudian buat bayaran kepada PKB melalui portal disediakan. Malah, kakitangan PKB turut membantu sepanjang proses pembelian," katanya.

Berita Harian X