Khamis, 30 Mei 2024 | 1:58pm
Foto fail REUTERS
Foto fail REUTERS

Pelaburan Google bantu KPM pertingkatkan program AI

KUALA LUMPUR: Pengumuman Google untuk melabur di negara ini memberi nilai tambah kepada usaha Kementerian Pendidikan (KPM) mempertingkatkan program celik kecerdasan buatan (AI) untuk manfaat murid dan guru.

Dalam satu kenyataan, KPM memaklumkan inisiatif seperti Gemini Academy dan Experience AI yang sedang berjalan adalah bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan melahirkan generasi fasih digital berdaya saing.

"Ia dilaksanakan menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan, penyediaan infrastruktur, infrastruktur dan kandungan yang berkualiti serta penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.

"Kerjasama strategik yang terjalin antara KPM dengan peneraju teknologi seperti Google adalah penting untuk pengukuhan pelaksanaan DPD serta untuk memastikan usaha mereformasikan pendidikan negara berjaya," katanya.

KPM menambah, pelaburan itu juga antara lain dapat memenuhi keperluan perkomputeran awan yang semakin meningkat.

Sebelum ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya memaklumkan Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia.

MITI berkata komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

Berita Harian X