Khamis, 30 Mei 2024 | 12:47pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berbual bersama peniaga ketika Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berbual bersama peniaga ketika Hari Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Sejuta 'Fleet Card' tersedia kepada syarikat pengangkutan menerusi SKDS2.0

PUTRAJAYA: Sebanyak sejuta stok 'Fleet Card' tersedia bagi syarikat pengangkutan darat barangan untuk dimohon menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata inisiatif itu antara langkah dilaksanakan lima syarikat minyak utama yang terbabit dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Katanya, jumlah itu disasarkan untuk memenuhi permintaan 23 jenis kenderaan yang layak melalui SKDS 2.0 dan dijangkan memanfaatkan kira-kira 410,000 kenderaan.

"Hari ini kita dapat komitmen daripada syarikat minyak, mereka menyediakan stok Fleet Card sebanyak sejuta, jadi ini bermaksud syarikat minyak akan sentiasa mempunyai bekalan sebaik sahaja permohonan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Hari Terbuka SKDS 2.0 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, proses mendapatkan Fleet Card juga sudah dipercepatkan dengan pemohon boleh mendapatkannya dalam tempoh kurang seminggu, berbanding empat hingga enam minggu sebelum ini.

Ditanya kenapa tidak menggabungkan tiga Fleet Card berbeza menjadi satu, Armizan berkata, buat masa ini, kerajaan hanya menggunakan sistem sedia ada yang disediakan lima syarikat minyak terbabit.

"Peringkat awal ini, kita tidak mahu berbelanja untuk sistem baharu, kita guna infrastruktur sedia dan ia secara langsung menjimatkan kos kerana sistem ini masing-masing sudah ada di syarikat minyak, kita hanya integrasikan dengan SKDS.

"Bagaimanapun, sekiranya ada cadangan, ada kewajaran kosnya, kita sedia pertimbangkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN menggerakkan kerjasama mengintegrasikan sistem terbabit dengan MySikap kelolaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Jelasnya, menerusi pengintegrasian sistem itu, pemohon tidak lagi perlu memuat naik setiap dokumen, sebaliknya hanya memasukkan nombor pendaftaran.

"Jika semuanya lengkap, kelulusan boleh diberikan secara serta-merta. Dengan adanya proses lebih tersusun ini, kita yakin bahawa pendaftaran permohonan untuk sertai SKDS ini dapat dipertingkatkan," katanya.

Armizan sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menambah bilangan pilihan daripada dua kepada tiga syarikat pembekal minyak menerusi sistem MySubsidi Diesel berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada syarikat pembekal minyak serta industri pengangkutan.

"Kita bersetuju untuk mempertimbangkan rayuan, kalau sebelum ini syarikat pengangkutan barangan dihadkan untuk mempunyai pilihan dua syarikat pembekal minyak (ketika mendaftar MySubsidi Diesel).

"Kita putuskan atas rayuan terbabit, kita akan beri opsyen tambahan iaitu boleh memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak yang ditetapkan," katanya

Berita Harian X