Khamis, 30 Mei 2024 | 10:43am
Kerajaan disaran meningkatkan insentif bagi menggalakkan syarikat swasta memberi peluang pekerjaan kepada graduan TVET. - Foto hiasan
Kerajaan disaran meningkatkan insentif bagi menggalakkan syarikat swasta memberi peluang pekerjaan kepada graduan TVET. - Foto hiasan

Syarikat swasta culas ambil lulusan TVET

KUALA LUMPUR: Satu kaji selidik oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan, sebahagian besar syarikat swasta masih 'kurang kesedaran' untuk mengambil lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tenaga kerja mereka.

Tinjauan Gaji MEF Untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini mendapati, hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET, sekali gus menunjukkan majoriti majikan swasta tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dari kalangan graduan berkenaan.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata dapatan itu jelas menunjukkan jurang yang ketara dalam aspek kesedaran dan penerimaan graduan TVET yang masih rendah dalam kalangan majikan sektor swasta.

Malah, beliau berkata, sebanyak 7.8 peratus daripada responden turut menyatakan ketidakpastian mengenai pengambilan tenaga kerja dalam kalangan graduan TVET.

"Ini jelas menunjukkan terdapat keperluan untuk meningkatkan lagi pemahaman dan penghayatan potensi graduan TVET di sektor swasta.

"Justeru, MEF berharap dengan pengenalan Dasar TVET Negara bulan depan, jurang ini akan diatasi dengan memupuk integrasi graduan TVET yang lebih mantap ke dalam pasaran tenaga kerja," katanya kepada BH.

Pada masa sama, Syed Hussain berkata, walaupun pendidikan TVET diterima baik kerana penekanannya dalam membangunkan kemahiran teknikal dan amali, tinjauan MEF turut mendedahkan keperluan kritikal untuk meningkatkan lagi kemahiran insaniah membabitkan pelatih TVET.

"Ini penting bagi memastikan graduan TVET bersedia sepenuhnya untuk cemerlang di tempat kerja.

"Berdasarkan kaji selidik itu, tiga kemahiran insaniah teratas yang kurang dalam kalangan graduan TVET ialah pemikiran kritis (43 peratus), kepimpinan (41.5 peratus) dan kemahiran sosial serta komunikasi (39.4 peratus)," katanya.

Namun, dapatan tinjauan MEF menunjukkan sebahagian besar syarikat menyediakan peluang latihan untuk graduan TVET dengan 65.3 peratus responden mengesahkan penyertaan mereka dalam program berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan kerana hanya 23 peratus syarikat tidak menawarkan latihan amali pada masa ini, manakala 11.7 peratus lagi tidak pasti mengenai dasar latihan amali mereka.

Penuhi keperluan calon

Sebaliknya majoriti syarikat iaitu mewakili 72.2 peratus juga mengakui bahawa TVET memenuhi keperluan calon yang mungkin tidak cemerlang dari segi akademik.

"Ini sekali gus menandakan penghargaan atas keupayaan TVET untuk menampung spektrum pelajar yang lebih luas dan bukan tertumpu kepada kebolehan akedemik sahaja.

Foto hiasan. - NSTP/FAIL
Foto hiasan. - NSTP/FAIL

"Selain itu, terdapat sentimen (81.4 peratus syarikat) bahawa TVET memainkan peranan penting dalam menangani pengangguran dalam kalangan belia dengan melengkapkan golongan muda menerusi kemahiran praktikal dan sedia bekerja.

"Ini menggariskan persepsi bahawa TVET berfungsi sebagai penyelesaian yang berdaya maju untuk menangani pengangguran dalam kalangan belia, menawarkan mereka peluang untuk memperoleh kemahiran yang boleh digunakan secara langsung dalam pasaran pekerjaan semasa," katanya.

Syed Hussain menambah berkata, terdapat konsensus yang kukuh dalam kalangan majikan apabila 90.7 peratus menyatakan keperluan penyediaan insentif kerajaan untuk menggalakkan syarikat menyediakan lebih banyak peluang latihan, menekankan kepentingan memberi insentif kepada penyertaan industri dalam program latihan.

"Pelbagai bentuk insentif kerajaan boleh ditawarkan kepada syarikat, contohnya insentif cukai, subsidi atau geran untuk syarikat yang menawarkan latihan kepada pelajar TVET.

"Insentif ini boleh membantu mengimbangi kos yang berkaitan dengan penyediaan latihan, termasuk perbelanjaan latihan, penyeliaan dan pentadbiran," katanya.

Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Dasar TVET Negara yang akan dilancarkan Jun ini mempunyai matlamat penting menyediakan tenaga kerja berketerampilan untuk keperluan pasaran tenaga negara dalam bidang teknologi baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berharap dasar itu dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat khususnya ibu bapa yang melihat TVET sebagai pilihan kedua, sedangkan potensi bidang berkenaan sangat besar, termasuk kebolehpasaran siswazah.

Berita Harian X