Khamis, 30 Mei 2024 | 10:08am
Google akan melabur AS$2 bilion di Malaysia, termasuk pembangunan pusat data Google yang pertama dan wilayah Google Cloud
Google akan melabur AS$2 bilion di Malaysia, termasuk pembangunan pusat data Google yang pertama dan wilayah Google Cloud

Google labur RM9.4 bilion wujud pusat data, wilayah Google Cloud di Malaysia

KUALA LUMPUR: Google menyatakan komitmen untuk melabur RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk mewujudkan pusat data pertama dan wilayah Google Cloud di Malaysia dengan Elmina Business Park milik Sime Darby Property Bhd di Greater Kuala Lumpur menjadi destinasi pilihan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, komitmen pelaburan baharu Google itu dijangka menyokong 26,500 pekerjaan merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan dengan jumlah impak ekonomi bernilai RM15.04 bilion (AS$3.2 bilion).

Wilayah Google Cloud di Malaysia akan menyertai 40 wilayah dan 121 zon yang kini beroperasi di seluruh dunia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan awan di peringkat tempatan dan global, selain program celik AI (kecerdasan buatan) untuk pelajar serta pendidik Malaysia.

"Komitmen terbaharu oleh sebuah lagi gergasi teknologi global di Malaysia ini menjadi pencapaian penting dalam visi kerajaan MADANI untuk menarik lebih ramai pelabur digital bagi membantu membina ekonomi yang dipacu pendigitalan yang kukuh dan selamat.

"Peningkatan kapasiti dan kebolehpercayaan pada perkhidmatan awan akan menyokong pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kewangan untuk mewujudkan dunia yang lebih terhubung dan berdaya tahan," kata kenyataan itu.

Pengumuman MITI susulan komitmen terbaharu Google itu dibuat selepas beberapa siri libat urus kementerian itu membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan yang juga Ketua Pegawai Kewangan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Memorandum Persefahaman turut ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Google pada 14 November 2023.

Menurut MITI, pusat data Google juga akan memperkasakan perkhidmatan digital terkemuka Google seperti Search, Maps dan Workspace, selain turut memainkan peranan penting dalam membolehkan gergasi teknologi itu menyampaikan manfaat Al kepada pengguna di seluruh negara.

Apabila beroperasi kelak, Malaysia akan menyertai 11 negara lain yang mengendalikan pusat data bagi memberi perkhidmatan kepada pengguna di seluruh dunia.

Bagi wilayah Google Cloud pula, ia akan menyediakan infrastruktur awan, analitik dan perkhidmatan AI berprestasi tinggi serta kependaman rendah kepada perusahaan besar, syarikat pemula niaga dan organisasi sektor awam, sambil mengekalkan piawaian pematuhan keselamatan dan kawal selia yang tertinggi.

Mengulas mengenai pelaburan baharu gergasi teknologi itu, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pengumuman terkini Google membabitkan pelaburan RM9.4 bilion di Malaysia akan menyokong matlamat digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Katanya, pusat data Google dan wilayah Google Cloud di Greater Kuala Lumpur akan memperkasakan sektor pembuatan dan industri berasaskan perkhidmatan Malaysia dengan memanfaatkan AI serta teknologi canggih lain bagi meningkatkan rantaian nilai global.

"Kami juga mengalu-alukan rancangan Google untuk membantu Malaysia membangunkan ekosistem bakat yang teguh dengan memudahkan pertumbuhan kemahiran digital, perniagaan dan kerjaya pekerja kita.

"Memandangkan komitmen ini menarik pelaburan selanjutnya, ia akan merangsang inovasi dan memacu pertumbuhan untuk organisasi dari semua saiz.

"Kami yakin perkongsian dan pelaburan berterusan Google akan mempercepatkan transformasi digital negara, menyumbang kepada visi MADANI ke arah Malaysia yang lebih makmur dan maju dari segi teknologi," katanya.

Tengku Zafrul berkata, komitmen teguh Malaysia terhadap infrastruktur digital yang teguh telah meyakinkan banyak syarikat multinasional melabur di Malaysia yang menghasilkan RM144.7 bilion pelaburan digital yang diluluskan dari 2021 hingga 2023.

"Memandangkan MITI secara aktif mewujud dan memperkasakan ekosistem digital yang akan memacu penyelesaian berasaskan teknologi merentas pelbagai sektor, ia juga akan mengukuhkan cadangan nilai Malaysia sebagai destinasi syarikat pemula niaga global, lokasi untuk syarikat mengukuhkan kejayaan operasi serantau dan global mereka," katanya.

Dalam kenyataan sama, Porat berkata, pusat data pertama Google dan wilayah Google Cloud ialah pelaburan terancang terbesar gergasi itu setakat ini di Malaysia, negara yang menjadi hab syarikat itu sejak 13 tahun lalu.

"Pelaburan ini dibina atas perkongsian kami dengan kerajaan Malaysia bagi memajukan 'Dasar Awan Pertama' termasuk piawaian keselamatan siber terbaik dalam kelasnya.

"Dengan pengumuman hari ini, Malaysia dan Google bekerjasama untuk memajukan pakatan kami untuk mencipta ekosistem yang menyokong inovasi dan membuka potensi transformasi digital," katanya.

MITI berkata, selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang menggalakkan inovasi dan keterangkuman dalam membantu melonjakkan Malaysia menjadi antara 30 ekonomi utama dunia menjelang 2033, teknologi transformatif seperti pembelajaran mesin, pemprosesan bahasa semula jadi dan analisis ramalan yang dikuasakan oleh perkhidmatan awan dan AI oleh gergasi teknologi global berpotensi untuk memperkasakan perniagaan dari semua saiz.

Ia termasuk syarikat pemula niaga serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang dapat memanfaatkan potensi teknologi bagi memacu daya saing pasaran.

Berita Harian X